Datuk Seri Hamzah Zainuddin (lima kiri) bergambar bersama wakil pelbagai syarikat penaja Pameran Francais Antarabangsa Malaysia
BERNAMA – 31 MARCH 2016
KUALA LUMPUR, 31 Mac — Malaysia dijangka mampu menjadi hab francais utama di Asia Tenggara menjelang 2020 berikutan peningkatan minat francaisor antarabangsa untuk beroperasi di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan minat beberapa syarikat untuk mewujudkan sayap pemasaran mereka di Malaysia serta menjalin usaha sama bagi memperluaskan rangkaian perniagaan.
“Tahun lepas, kita berjaya membawa masuk 25 francaisor bagi menjadikan Malaysia sebagai hab penjualan produk mereka.
“Ini membuktikan Majlis Francais Dunia boleh bekerjasama dengan kita untuk membawa masuk lebih ramai francaisor dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar acara Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2016 (FIM 2016) di sini, hari ini.
Hamzah berkata, kerajaan akan terus menyokong industri francais tempatan menerusi pelaksanaan pelbagai pelan dan inisiatif bagi menjadikan mereka penggiat di peringkat antarabangsa.
Mengulas pertumbuhan sektor itu, beliau berkata ia dijangka melepasi angka RM26.8 bilion diraih tahun lepas, susulan penambahan sektor baharu francais seperti pendidikan dan perkhidmatan dobi selain makanan dan minuman.
Malah, lebih banyak produk francais Malaysia sudah berjaya menembusi pasaran global khususnya di Vietnam, Indonesia serta Filipina.
Beliau turut menggesa usahawan tempatan agar lebih inovatif memperkenalkan produk yang berpotensi agar menjadi jenama antarabangsa yang diyakini.
FIM 2016 akan diadakan pada 6-8 Mei, 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dan dijangka menarik seramai 12,000 pengunjung.
Acara anjuran bersama KPDNKK dan Persatuan Francais Malaysia itu juga disifatkan persidangan dan pameran francais terbesar di Asia Tenggara.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1230851