Kuala Lumpur, 30 Mei 2024,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), mengadakan Anugerah Francais Malaysia 2024 (MAF 2024), baru-baru ini.
Anugerah itu menjadi platform bagi memperkasa kemajuan serta mengiktiraf syarikat francais tempatan di atas pencapaian erta sumbangan terhadap industri berkenaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata penganugerahan itu bertujuan meraikan dan mengitiraf pencapaian dan inovasi usahawan francais dalam membantu merancakkan ekonomi.
“Saya melihat pengiktirafan ini bukan pengakhiran atau untuk usahawan berpuas hati dengan kejayaan dan pencapaian mereka. Sebaliknya, ia adalah permulaan untuk berusaha lebih gigih membawa produk-produk francais negara agar setanding dengan jenama-jenama gah antarabangsa serta bersaing di peringkat global,” katanya pada majlis itu.
MAF 2024 menyaksikan QC Group Sdn Bhd yang mengendalikan jenama HOME Maths Therapy, dinobatkan sebagai jenama francais bumiputera pertama meraih Anugerah Francaisi dan Francaisor Terbaik.
Kategori Majikan Francais Terbaik pula dimenangi oleh Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd dengan jenama Oldtown White Coffee manakala kategori Tanggungjawab Sosial Korporat Francais Terbaik dirangkul oleh Bright Hill Islamic Montessori School Sdn Bhd menerusi jenama Bright Hill.
Acara itu turut mengiktiraf 17 pemenang dalam pelbagai kategori merangkumi Sistem Francais, Francaisor Antarabangsa, Francaisi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Media.
Sementara itu, Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan pula menyifatkan penganjuran MAF 2024 sebagai signifikan dalam usaha membantu usahawan memperkukuh perniagaan mereka.
“Ini juga dapat menggalakkan lebih banyak eksport francais ke luar negara selain mengalu-alukan kedatangan pelabur asing ke negara ini yang selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab francais bagi rantau Asia Tenggara,” katanya.
–Bernama
Sumber: Bernama
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/wilayah/news.php?id=2302988