Shah Alam, 3 Feb 2023,
Lebih banyak perniagaan francais makanan dan minuman menawarkan Menu Rahmah sejak ia diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan bermula Selasa lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melalui ciapannya di Twitter menyatakan kesyukuran apabila mendapati beberapa restoran terkemuka turut menyambut baik inisiatif berkenaan.
“Alhamdulillah, lebih banyak restoran dan francais yang menyambut baik inisiatif Rahmah,” katanya pada Jumaat.
Antara restoran yang mula memperkenalkan Menu Rahmah seperti yang disebut dalam Twitter Salahuddin termasuk pembekal makanan dan minuman terkemuka, Chatime Malaysia Sdn Bhd (Chatime) dan Restoran Mios Kitchen.
Sebelum ini, dilaporkan lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan golongan berpendapatan rendah (B40) bermula 31 Januari lalu.
Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan bertujuan memastikan khususnya golongan B40 mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Sementara itu, Salahuddin menerusi satu hantaran video di laman sosial sama menyifatkan Menu Rahmah sebagai menu ‘kasih sayang’ yang diperkenalkan untuk setiap rakyat Malaysia.
“Menu Rahmah ini adalah menu rakyat, menu untuk semua orang.
“Jadi sesiapa yang merasakan perlu untuk mendapatkan menu ini, hanya RM5 sahaja. Siapa-siapa pun boleh menikmati Menu Rahmah kerana ia menu rakyat, menu kasih sayang,” ujarnya.
Dalam pada itu, ruangan komen ciapan Ahli Parlimen Pulai itu turut dibanjiri dengan pelbagai pandangan daripada netizen.
Antaranya, pengguna Twitter dengan nama akaun, @NurulRa1412 berharap agar inisiatif yang dilaksanakan itu akan terus berkekalan, bukan sekadar mengikut trend semata-mata.
Menurut pengguna akaun @Reizki9 pula, tawaran Menu Rahmah oleh francais-francais berkenaan diharapkan dapat diluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.
“Kalau boleh diluaskan (ke) seluruh Malaysia, biar rakyat luar bandar boleh merasai usaha Kerajaan Perpaduan,” ciapnya.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/243508/berita/nasional/lebih-banyak-francais-terkemuka-tawar-menu-rahmah