Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan urusniaga jualan berjumlah RM370 juta dan menjangka lebih 12,000 pengunjung pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2014) bermula hari ini 13 hingga Ahad 16 Jun ini.
Ahli Jawatankuasa Kecil Promosi dan Perhubungan Awam MFA, Abdul Rahman Mohamed berkata unjuran jualan dan transaksi kali ini adalah sasaran tambahan sebanyak RM2 juta berbanding jumlah jualan RM 368 juta yang diperolehi MFA pada pameran sama tahun lalu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Sasaran kali ini, katanya, mengambilkira perkembangan situasi ekonomi semasa negara selain platform terbaik untuk pempamer meningkatkan jualan.
“Kami tak nampak cabaran besar untuk meningkatkan jualan francais kali ini disebabkan pertumbuhan GDP ekonomi agak baik.
“Lagi pun, menerusi pameran ini memberi peluang kepada francaisor baharu untuk meneroka pasaran francais dalam pelbagai sektor bagi memperkukuhkan serta memperkembangkan perniagaan masing-masing.
“Sejak lima tahun lepas kita menyaksikan pertumbuhan transaksi jualan purata 8 peratus setiap tahun dan begitu juga sasaran jualan RM2 juta boleh dilepasi dengan mencatat dua kali ganda,” katanya pada taklimat FIM 2014 di PWTC hari ini.
Dalam pada itu, pameran FIM kali ke-21 akan disertai seramai 120 pempamer dari pelbagai bidang merangkumi terutama makanan dan minuman, hotel dan penginapan serta perkhidmatan dan penjagaan kesihatan.
Justeru itu, Abul Rahman berkata, penyertaan kali ini membabitkan 60 jenama tempatan dan 25 jenama antarabangsa melibatkan 11 negara antaranya Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Korea selain 11 penyertaan syarikat tempatan yang berstatus francaisor baharu.
“Objektif utama adalah pameran ini bersifat platform untuk setiap francaisor bagi membina jaringan perniagaan dan perkongsian idea.
“Penyertaan syarikat francaisor baharu juga membuktikan pertumbuhan industri francais negara semakin pesat dan diterima baik secara meluas menerusi pembabitan dalam pelbagai bidang perniagaan,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 726 syarikat francais berdaftar dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di 53 buah negara melibatkan 1,992 rangkaian outlet di seluruh dunia. – MalaysiaGazette