7 January 2015 – Sinar Harian
COOLBLOG Dessert Sdn Bhd (Coolblog) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) mengadakan sesi perbincangan bersama calon Bumiputera yang berminat untuk menceburi perniagaan francais.
Coolblog dalam satu kenyataan media berkata, tujuan perbincangan itu adalah menggalakkan lebih ramai Bumiputera menceburi perniagaan francais Coolblog.
Dalam perbincangan di ibu pejabat PNS di Bangsar itu, para peserta telah mendapat bimbingan daripada pegawai PNS mengenai pembiayaan dan pengurusan akaun.
Selain itu, peserta juga mendapat pendedahan daripada pihak Coolblog mengenai perniagaan Coolblog.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PNS Wilayah Selatan, Muhammad Shafiq Abdul Halim berkata, diharap program itu membantu para peserta untuk menceburi bidang perniagaan francais Coolblog.
Beliau berkata, PNS mempunyai sasaran menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais yang mempunyai kepakaran dalam menguruskan perniagaan.
Pada masa sama, Coolblog berharap program itu membantu Bumiputera menjana pendapatan melalui perniagaan francais sekali gus perniagaan Coolblog berkembang tahun ini.