14 November 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 13 Nov. – Syarikat yang bakal melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) disaran melantik konsultan bertauliah dalam sistem percukaian itu sekiranya perlu untuk memudahkan urusan mereka.
Penolong Kanan Pengarah (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Othman berkata, langkah itu dilihat dapat membantu syarikat terlibat berbincang mengenai isu GST seterusnya membuat keputusan sewajarnya.
Katanya, konsultan yang dilantik perlu mempunyai latar belakang bersesuaian supaya berupaya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tentang GST setelah ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Sehubungan itu, konsultan mahupun badan profesional turut perlu mengikuti seminar berkaitan GST untuk mendapatkan maklumat terbaru dan berpeluang merungkai segala keraguan mengenai cukai itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan taklimat sempena Seminar Komprehensif GST anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan JKDM yang dihadiri kira-kira 300 peserta.
Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat berdaftar, JKDM menganjurkan program hand-holding iaitu penerangan secara percuma kepada syarikat atau individu yang telah berdaftar dijalankan oleh jabatan mulai Oktober lalu.
Menurut Khairul Nizam, selain melantik konsultan, syarikat juga dinasihatkan untuk mendapatkan sistem perisian perakaunan patuh GST yang baik secepat mungkin supaya ia boleh dicuba selewat-lewatnya pada Mac 2015.
Tambahnya, perisian tersebut yang dijual bermula daripada RM1,000 tidak memerlukan sejumlah pelaburan terlalu besar terutamanya bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkannya.
“Ia antara komponen persediaan yang perlu dititik beratkan supaya memudahkan urusan syarikat terlibat dalam melaksanakan sistem percukaian itu.
“Malah, buat masa ini tiada undang-undang khusus terhadap sistem perisian itu selagi ia dapat membuat pengiraan jumlah cukai itu dengan tepat, ia boleh diguna pakai,” katanya.