Sinar Harian – 10 Disember 2015
Deric Yeo (kanan) pada sidang media semalam, selepas majlis MFM bersama media meraikan kemenangan MFM sebagai Francaisor Terbaik pada Malam Anugerah Francais.
RANGKAIAN francais restoran makanan laut terkenal, The Manhattan Fish Market (MFM) melaburkan RM16.5 juta untuk membuka 15 restoran baharu menjadikan jumlah keseluruhan MFM adalah 65 restoran pada tahun depan.
Pengurus Unit Perniagaan, Perniagaan Francaisnya, Deric Yeo berkata, setiap cawangan baharu yang dibuka, MFM memperuntukkan RM800,000 sehingga RM1.1 juta. Enam daripada jumlah restoran MFM akan dibuka dalam negara iaitu di Melaka, Lembah Klang dan Sarawak.
Menurutnya, sembilan daripada jumlah restoran MFM yang baharu akan dibuka di beberapa negara, antaranya Dubai, Brunei, China, Hong Kong, Macau dan Filipina.
“Setakat ini, jumlah cawangan MFM di Malaysia adalah 31, yang mana 27 daripadanya adalah milik MFM, manakala selebihnya adalah dimiliki francaisinya. Selain Malaysia, MFM mempunyai 30 cawangan di luar negara melibatkan Singapura, Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Myanmar, Oman, India, Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis MFM bersama media meraikan kemenangan MFM sebagai Francaisor Terbaik pada Malam Anugerah Francais yang lalu.
Beliau berkata, MFM menjangkakan akan memperolehi jumlah jualan iaitu RM57 juta berbanding RM45 juta pada tahun lalu walaupun menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pelaksanaan sistem GST.
“MFM menjangkakan keuntungan lebih besar pada masa akan datang kerana kami masih menjadi pilihan walaupun banyak restoran lain menawarkan makanan yang sama. Kami mempunyai sijil halal yang diiktiraf di semua cawangan kami sama ada dalam dan luar negara,” katanya.
Tambahnya, syarikat menyasarkan pertumbuhan jualan MFM adalah lima hingga tujuh peratus dan ia akan terus kekal pada 2016.
“Sebagai menghargai pelanggan kami, MFM juga memperkenalkan makanan tempatan iaitu nasi kerabu, tosai, mi kari, mi rebus di lima restoran kami untuk memberikan kepelbagaian menu kepada pelanggan.
“Menu tersebut boleh didapati di restoran MFM yang terletak di pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya; pusat membeli-belah Ampang Park dan Quill City, Kuala Lumpur dan pusat membeli-belah Aman Jaya, Kedah,” katanya.
MFM sering disalah anggap sebagai berasal dari Amerika Syarikat (AS) kerana namanya Manhattan, kota di New York, AS sedangkan realitinya dari Malaysia.
Cawangan pertamanya di Midvalley, Kuala Lumpur kira-kira 15 tahun lalu.
URL : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/labur-rm16-5-juta-buka-15-restoran-1.460431