Kota Kinabalu, 7 Nov 2024,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh, Arab Saudi pada 5 hingga 9 November 2024.
Menurut kenyataan KUSKOP di sini hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyifatkan usaha itu cerminan komitmen KUSKOP untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Beliau yang mengetuai delegasi ke Pameran Antarabangsa BIBAN24 turut mengadakan siri perbincangan berprofil tinggi, termasuk mesyuarat dengan Kudu Company for Food & Catering, salah satu jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi.
Perbincangan itu membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekali gus membantu jenama-jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.
Selain itu, mesyuarat dua hala turut diadakan dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr. Majid Abdullah Alkassabi untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Antara yang dibincangkan ialah usaha mempertingkatkan langkah-langkah konkrit seterusnya menjana sinergi dalam bidang keusahawanan dan pembangunan industri.
Pada 5 November, Ewon merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia yang menjadi platform penting mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.
Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Monsha’at dan PERNAS dengan Monsha’at.
MoU itu adalah langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pembangunan PKS dan francais kedua-dua negara.
Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC) menjadi tumpuan global dalam bidang keusahawanan dan Pavilion Malaysia dijangka menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia.
Program padanan perniagaan dan sesi rundingan dijangka membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah.
Sementara itu, Ewon pada Rabu mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan Kamar Perniagaan Riyadh, yang mempertemukan para usahawan Malaysia dengan pelabur dan pengusaha tempatan Arab Saudi.
Sesi ini dijangka mencetuskan kerjasama perniagaan baharu, membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dua hala.
Ewon juga mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, salah satu rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi.
Perbincangan itu dijangka merintis laluan bagi syarikat Malaysia memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.
Penyertaan Malaysia dalam BIBAN24 adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa.
Sumber: Utusan Borneo
Artikel Penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2024/11/07/kuskop-sasar-pelaburan-rm100-juta-sempena-biban24-di-riyadh