Kuala Lumpur, 8 Feb 2025,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kelmarin meluncurkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) secara rasmi sempena PERNAS International Franchise Festival (PIFF2025).
DFN 2030 merupakan sebahagian daripada usaha strategik untuk memperkukuh ekosistem francais negara dan memperluaskan akses pasaran domestik dan antarabangsa.
DFN 2030 memperkenalkan lima teras utama iaitu menambah baik polisi dan tadbir urus, mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan, memantap kapasiti dan keupayaan usahawan francais, mengoptimum capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais dan meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Kesemua teras utama ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di peringkat global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, dengan tema Ekosistem Francais Yang Dinamik dan Mampan, DFN 2030 akan memacu ekosistem industri francais dan menyokong pertumbuhan serta pembangunan usahawan yang beroperasi di bawah model perniagaan francais.
“DFN 2030 dilihat sebagai platform yang mampu melonjakkan prestasi usahawan, khususnya usahawan francais, ke arah memajukan industri francais secara holistik, membolehkan mereka bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Penganjuran PIFF 2025 menyokong usaha dasar ini melalui penyediaan akses kepada usahawan untuk melangkah ke peringkat global, serta platform pengantarabangsaan pertama yang direka khusus untuk memenuhi matlamat dan aspirasi yang terkandung dalam DFN 2030.
“PIFF 2025 juga menginspirasikan usahawan francais dengan peluang rangkaian, inovasi perniagaan, dan kolaborasi strategik.
“PIFF 2025 turut melibatkan penyertaan jenama-jenama terkemuka tempatan dan antarabangsa serta menyediakan platform peluang pekerjaan dalam industri berkaitan,” katanya pada majlis berkenaan.
Katanya, sempena Kepengerusian ASEAN 2025, KUSKOP menerusi PERNAS turut menekankan elemen ASEAN termasuklah penyertaan negara-negara ASEAN sebagai pempamer, panel forum dan padanan perniagaan.
Pada majlis sama, Ewon turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan sesi penyerahan pembiayaan.
Antara MoU berkenaan adalah antara PERNAS dan SME Corp; MoU antara PERNAS dan Prasarana Development Sdn Bhd (PRIDE); MoU antara PERNAS dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK); MoU antara PERNAS dan TERAJU serta Penyampaian cek cura Skim Pembiayaan PERNAS.
PIFF 2025 yang bertemakan ‘Brew Your Success, Empowering Entreprenuers’ yang memberi fokus kepada industri kopi, teh dan kafe pada tahun ini.
Acara ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk dan perkhidmatan berkaitan kopi, teh dan kafe, pameran agensi-agensi berkaitan keusahawanan, forum antarabangsa dan keusahawanan, padanan perniagaan, pertandingan ‘Latte Art’, barista dan cabutan bertuah, pertandingan E-Sport serta persembahan buskers dan mini konsert daripada artis terkemuka.
Acara yang berlangsung dari 7 sehingga 9 Februari ini menarik penyertaan meluas daripada pemain industri francais tempatan dan antarabangsa dengan kehadiran pempamer yang terdiri daripada sektor industri kopi, teh dan kafe daripada agensiagensi keusahawanan dan badan berkanun.
Bilangan keseluruhan seramai 150 pempamer dengan 20 peratus penyertaan pempamer antarabangsa dan menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung untuk tiga hari.
Melalui inisiatif ini, KUSKOP melalui agensinya PERNAS yakin industri francais negara akan terus berkembang pesat, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab francais yang terkemuka di rantau Asia.
Sumber: Utusan Borneo
Artikel Penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2025/02/08/kuskop-meluncurkan-dfn-2030-sempena-piff2025