29 Jun 2018,
KUB Malaysia Bhd (KUB) menjangkakan perjanjian penjualan anak syarikat milik penuhnya A&W (Malaysia) Sdn Bhd, dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.
Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin, berkata hasil daripada penjualan itu akan digunakan bagi membiayai perniagaan teras KUB.
Abdul Rahim berkata, setakat ini pihaknya sudah mendapat tawaran lebih dari 10 pembeli, iaitu terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk membeli A&W.
“Boleh dikatakan ada antaranya adalah firma ekuiti termasuk juga syarikat yang sudah terbabit dalam industri makanan dan minuman.
“Walau begitu kami masih belum lagi memutuskan untuk menjual A&W kepada sesiapa dan akan terus mengenal pasti pembeli yang berpotensi.
“Ada beberapa perkara yang membuatkan transaksi itu tidak dapat diputuskan, antaranya adalah dari segi pembayaran, selain daripada tidak menepati penilaian harga jualan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KUB di Shah Alam, semalam.
Nilai jualan rangkaian makanan segera A&W, yang beroperasi di bawah KUB, dianggarkan 10 kali dari aliran tunainya. Itu tidak termasuk diskaun 20 hingga 30 peratus yang bakal diberikan dalam perjanjian jualan.
KUB mengambil alih operasi A&W di semenanjung Malaysia pada 2001. Pada 2015, KUB mengemukakan cadangan penjualan sehingga kini.
Sumber : Berita Harian
Artikel Penuh: http://www.bhplus.com.my/bisnes/korporat/2018/06/442746/kub-muktamad-penjualan-aw-tahun-ini