KUALA LUMPUR 23 Mei – KUB Malaysia Bhd. (KUB) merancang untuk membuka sebanyak 17 buah restoran makanan segera A&W untuk tempoh dua tahun akan datang dengan pelaburan bernilai RM25 juta, menjadikan jumlah cawangan restoran tersebut sebanyak 52 buah menjelang 2019.
Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin berkata, ketika ini A&W memiliki 35 buah cawangan dan selaras dengan perjanjian pembangunan francais yang telah ditandatangani, KUB akan membuka lapan buah cawangan baharu menjelang akhir Jun ini.
“Kami terbuka untuk menerima tawaran kerana ketika ini apa yang penting adalah untuk mengukuhkan tiga segmen utama KUB iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perladangan dan tenaga gas petroleum cecair (LPG),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan KUB di sini hari ini.
Tambah Abdul Rahim, perolehan sektor tenaga meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM325.2 juta bagi tahun kewangan 2016 manakala untung bersih kumpulan meningkat sebanyak 159.1 peratus kepada RM24.1 juta.
Katanya, peningkatan signifikan tersebut dicapai sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kuantiti jualan LPG, pengimbangan semula edaran produk dan inisiatif pengurusan bagi meningkatkan margin.
Beliau berkata, perolehan sektor tenaga juga menyumbang sebanyak 66 peratus kepada untung sebelum cukai KUB bagi tahun kewangan 2016 diikuti ICT, 14 peratus, makanan (9 peratus), agro (8 peratus), kuasa (2 peratus) dan hartanah 1 peratus.
Abdul Rahim berkata, bagi suku pertama berakhir 31 Mac tahun ini, KUB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.02 juta berbanding RM5.57 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, hasil sumbangan signifikan segmen tenaga dan agro.
Keuntungan sebelum cukai segmen agro KUB meningkat 96 peratus manakala sektor tenaga melonjak 10 peratus.
Perolehan KUB bagi suku pertama 2017 juga meningkat 21 peratus kepada RM148.59 juta berbanding RM122.73 juta tahun lalu.
“Berdasarkan prestasi memberangsangkan yang dicatat pada tahun kewangan 2016 dan suku pertama tahun ini, syarikat yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan pada masa akan datang,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/kub-bakal-miliki-52-restoran-a-amp-w-2019-1.485509#ixzz4off6Si7A
© Utusan Melayu (M) Bhd