KUALA LUMPUR 25 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan peningkatan 10 peratus oleh industri francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020
Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Razali Othman berkata, tahun lalu industri berkenaan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara dengan menyumbang RM26.8 bilion atau 3.4 peratus kepada KDNK.
Tambah Razali, kerajaan juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau di Asia Tenggara pada tahun 2020.
Beliau menjelaskan, industri francais negara juga telah menunjukkan pertumbuhan positif dengan 845 syarikat francais daripada pelbagai sektor telah didaftarkan.
“Bagi FIM 2017, kementerian dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan transaksi berjumlah RM370 juta sepanjang tiga hari pameran ini berlangsung,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd. Latip Sarrugi berkata, sehingga kini lebih 90 ruang pameran telah diisi lebih 50 syarikat tempatan dan 30 syarikat antarabangsa.
Katanya, FIM kali ini menyaksikan penyertaan tertinggi dari Thailand dengan lapan buah syarikat, selain dari Amerika Syarikat, Australia, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Filipina.
“Kami menjangkakan lebih 10,000 pengunjung untuk hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya.
http://www.utusan.com.my/mobile/bisnes/ekonomi/kpdnkk-mahu-tingkatkan-sumbangan-industri-francais-1.473887