KUALA LUMPUR 13 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mahu menjadikan Malaysia sebagai hab francais dengan menampilkan ciri-ciri budaya Malaysia menerusi Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) pada tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan gabungan kepakaran pemain industri seperti FIM untuk memastikan inisiatif itu dapat diperhalusi dan dipertingkatkan keberkesanannya.
“Kita mahu jadikan FIM sebagai karnival yang turut menampilkan elemen budaya Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia ke-24 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Henry Sum Agong; Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Basaruddin Sadali; Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd. Latip Sarrugi dan Naib Presiden MFA, Izham Hakimi Hamdi.
Sementara itu, Hamzah mahu FIM meningkatkan jumlah gerai daripada 90 pada pameran kali ini kepada 300 gerai pada tahun hadapan selari dengan ulang tahunnya yang ke-25.
Beliau berkata, program itu juga akan bertindak sebagai platform untuk mempertemukan para penggiat francais dari seluruh negara untuk berkongsi pengalaman, idea dan pengetahuan bagi merancakkan pembangunan francais tanah air.
Dalam isu lain mengenai keluhan pengusaha stesen minyak yang mendakwa mengalami kerugian apabila stok lama yang dibeli dengan harga tinggi terpaksa dijual dengan murah, Hamzah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan persatuan pengusaha stesen pada minggu depan di pejabatnya.
“Kita tidak boleh biarkan mereka (pengusaha stesen minyak) tertekan dalam keadaan tertentu. Biar kita adakan perbincangan dahulu,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kpdnkk-mahu-malaysia-8232-jadi-hab-francais-tahun-depan-1.480995#ixzz4ofZD2BL4
© Utusan Melayu (M) Bhd