15 February 2015 – MyNewsHub
Tidak dinafikan semakin ramai rakyat Malaysia mula mengorak langkah menceburi industri francais yang dilihat semakin berkembang sejak ia diperkenalkan oleh kerajaan lebih 20 tahun lalu.
Sehingga tahun ini, 60 produk tempatan seperti Marry Brown dan Nelson sudah berjaya menembusi pasaran luar negara menerusi konsep perniagaan itu.
Justeru, bagi meningkatkan lagi pengetahuan orang ramai mengenai industri francais, satu sesi penerangan santai kepada bakal usahawan francais yang dinamakan ‘Teh Tarik Session – Steps To Become A Franchisor’ telah dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA), Jumaat lalu yang bertempat di Restoran Teh Tarik Place (TTP), NU Sentral, Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Zainal Azman Abu Seman yang hadir sebagai panel pada sesi tersebut, ia merupakan platform yang baik untuk memberi penjelasan tentang usaha kerajaan khususnya oleh pihak KPDNKK dalam membangunkan industri itu.
“Bakal usahawan boleh bertanya mengenai insentif dan sebagainya yang diberikan oleh KPDNKK kepada industri francais.
“Dengan penekanan yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk kita membangunkan dan memperkasakan lagi industri domestik, baru-baru ini, KPDNKK khususnya bahagian francais mempunyai peranan yang penting untuk menjadikan sektor ini sebagai salah satu penyumbang dalam menjana ekonomi domestik.
“Melaluinya, kita bukan saja mewujudkan peluang untuk produk buatan Malaysia, tetapi juga peluang keusahawanan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Setakat ini, terdapat 758 francaisor dengan kira-kira 70 peratus merupakan francaisor domestik, manakala selebihnya merupakan francaisor asing.
Namun, dari segi sumbangan kepada ekonomi, Zainal memberitahu kebanyakannya datang daripada francaisor asing kerana mereka mempunyai skala ekonomi yang lebih besar.
“Sebab itulah pihak KPDNKK memberi penumpuan yang lebih serius dalam memberi suntikan dan bantuan kepada francaisor tempatan bukan sahaja di pasaran domestik, tetapi juga dibawa ke luar negara,” jelasnya.
Sesi penerangan itu turut memberi penjelasan mengenai Akta Francais 1958 selain cara pendaftaran untuk para francaisor yang boleh dilakukan melalui laman webwww.myfex.gov.my.
Pihak Mynewshub juga berkesempatan menembual seorang lagi panel iaitu Pengarah Francais TTP Sdn Bhd, Mazril Zaini yang turut mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menjadi francaisi sekaligus membuka oulet restoran tersebut pada masa akan datang.
“Biasanya untuk buka Restoran TTP ini, yuran francais adalah RM50,000 yang dibayar sekali untuk tempoh lima tahun manakala kos pengubahsuaian sekitar RM500,000 hingga ke RM600,000.
“Ramai yang berminat dengan TTP ini kerana kita memberi kelonggaran kepada francaisi untuk menggunakan pembekal dan kontraktor sendiri, manakala kami hanya mengawal selia proses pengubahsuaian oulet,” katanya.
Kelebihan francaisi tidak hanya terhenti di situ, sebaliknya mereka juga dibenarkan untuk memperkenalkan menu sendiri yang berasaskan masakan Malaysia selain menu yang sudah ditetapkan di setiap outlet restoran tersebut bagi menarik perhatian pelanggan.
Setakat ini, TTP sudah mempunyai 21 cawangan sejak ia dibuka pada tahun 2007 dan turut mensasarkan 30 lagi oulet baru pada tahun ini selain bakal menembusi pasaran luar negara termasuklah di Indonesia, Singapura dan China.
Sesi penerangan tersebut turut dikendalikan oleh dua lagi panel iaitu Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bahagian Francais KPDNKK, Afkhar Razi dan Timbalan Ketua Cawangan Credit Guarantee Corporation (CGC) Malaysia Berhad, Azizul Fadzli Samad. – MYNEWSHUB.CC