Subang, 20 Januari 2022,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan Prototaip Mampu Milik Oldtown White Coffee Express di bawah inisiatif Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M).
Program itu dilancarkan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Hasnol berkata, Oldtown White Coffee Express ini adalah antara jenama francais yang terpilih untuk menerima Geran Penuh bernilai RM50,000 di bawah Program F3M yang dilaksanakan oleh KPDNHEP dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA).
“Ini sekali gus menjadi mercu tanda kejayaan program ini kerana ianya adalah prototaip pertama yang dilancarkan di bawah program ini.
“Saya berasa bangga pada hari ini kerana Oldtown White Coffee telah berjaya membangunkan prototaip francais mampu milik Oldtown Express, dengan kos permulaan perniagaan sebanyak RM100,000 sahaja, yang merangkumi kos penyediaan outlet, peralatan dan perabot, yuran francais dan yuran latihan.
“Saya juga berasa gembira apabila dimaklumkan pakej yang akan didaftarkan ini mampu memberi keuntungan kepada francaisi sebanyak 16 peratus untuk setiap outlet,” katanya.
Beliau berkata, terdapat tiga francaisor lagi sedang dalam peringkat
terakhir penyediaan perniagaan konsep F3M manakala beberapa francaisor lain sedang dalam peringkat perancangan awal.
“Saya berharap lebih ramai francaisor dapat menyediakan pakej francais F3M yang mampu memberi peluang untuk berniaga kepada lebih ramai golongan masyarakat dibawah B-40 dan M-40.
“Saya percaya program ini dapat memberi impak yang positif terhadap pembangunan ekonomi negara sekaligus mengangkat taraf ekonomi negara ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.
Turut hadir pada pelancaran itu adalah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan serta Pengarah Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL), Mohd Farid Yahya.
Pada majlis itu, turut berlangsung, program Sesi Libaturus bersama Ahli MFA dengan objektif untuk berkongsi maklumat dan perkembangan terkini berkaitan industri, kemudahan bantuan kewangan termasuk penawaran geran serta aktiviti-aktiviti anjuran MFA.
Pengisian utama program itu adalah perkongsian berkenaan kemudahan geran yang ditawarkan oleh Kerajaan untuk perniagaan francais seperti Market Development Grant (MDG), Service Export Fund (SEF), Geran di bawah Program Pengukuhan Francais bagi meningkatkan Eksport (EFDP) serta Geran Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik, senarai aktiviti MFA untuk tahun 2022 serta kaedah Pindaan Matan.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara diatas, boleh hubungi MFA di talian 03-62414141 atau layari www.mfa.org.my.
Sumber: Daily Tv
Artikel Penuh: https://dailytv.my/kpdnhep-lancar-prototaip-pertama-bawah-program-francais-mikro-dan-francais-mampu-milik/