Kuala Lumpur, 11 Sep 2020,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang giat mempromosikan perniagaan francais berbentuk mikro yang relevan kepada golongan B40 dan M40.
Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata perbincangan telah diadakan bersama beberapa pemain industri yang berpotensi untuk menawarkan pakej francais mampu milik yang bernilai RM100,000 ke bawah dan francais mikro bernilai RM50,000 ke bawah.
“Inisiatif ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan B40 dan M40 di samping menjana pulangan keuntungan kepada francaisor,” katanya ketika berucap pada program Pameran Francais Berskala Kecil (Franchise Bay) 2020 bagi Zon Tengah di pusat membeli belah MyTown di sini, hari ini.
Beliau berkata sehingga kini, 11 jenama francais menawarkan pakej mikro dan mampu milik antaranya Arjuna Village, Ani Sup Utara, Taska Bonda Mama, KopieSatu, V-Agromart, MD Putu Bambu World dan Q-dees.
Tambahnya, KPDNHEP mempunyai rakan strategik yang menawarkan kemudahan pembiayaan kepada mereka yang berminat menceburi perniagaan francais iaitu Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) dan Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF) oleh Perbadanan Nasional, serta Skim Pembiayaan Francais (SPF) oleh Credit Guarantee Corporation (CGC).
“Sekiranya terdapat francaisor yang berminat untuk menyertai dan terlibat dengan usaha sama ini, bolehlah mengadakan perbincangan bersama pihak kementerian. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri tetapi ini adalah satu langkah bagi menghadapi proses pemulihan dalam pusingan ekonomi yang boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Hasnol Zam Zam berkata pihaknya menyasarkan 30 potensi francaisi dengan nilai pelaburan RM7.5 juta pada program Franchise Bay 2020 bagi Zon Tengah yang diadakan bermula hari ini sehingga Ahad.
Katanya, sebanyak 12 tapak disediakan secara percuma kepada francaisor yang terlibat untuk memasarkan sistem perniagaan francais mereka kepada orang ramai.
Tambahnya, penganjuran program berkenaan juga sebagai platform kepada para francaisor mempromosikan perniagaan francais mereka dan bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi.