Kuala Lumpur, 9 Mac 2021,
Pemilik perniagaan di negara ini digalakkan untuk mengembangkan perniagaan mereka menerusi model Francais Mikro dan Mampu Milik.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, konsep itu sedang rancak dipromosikan kementeriannya untuk memberi peluang peniaga mengembangkan perniagaan dan melahirkan lebih ramai usahawan francais khususnya generasi muda.
Beliau berkata, pada masa sama pihaknya menyeru usahawan francais sedia ada untuk memperkenalkan pakej francais baharu yang mengenakan modal permulaan dan kos pakej francais lebih rendah dalam usaha menggalakkan lebih ramai anak muda serta golongan M40 dan B40 menceburi perniagaan francais.
“Kita (KPDNHEP) serius dalam usaha membangun serta memajukan perniagaan francais di negara ini terutama model Francais Mikro dan Mampu Milik membabitkan modal permulaan dan kos pakej francais lebih rendah iaitu di bawah RM100,000 (francais mampu milik) dan RM50,000 (francais mikro).
“KPDNHEP memperuntukkan RM5 juta tahun ini untuk melaksanakan pelbagai Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik antaranya seperti latihan, advokasi dan khidmat nasihat yang diperlukan francaisor dan francaisi.
“Setakat ini sudah ada beberapa jenama perniagaan popular datang kepada kita untuk melebarkan lagi sayap perniagaan menerusi model Francais Mikro dan Mampu Milik ini antaranya seperti CheeseU, Putu Bambu World, Dapur Penyet dan Kopi Satu,” katanya selepas selepas meninjau operasi kios francais CheeseU di pekarangan Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.
Ia adalah kios pertama bagi jenama perniagaan itu di bawah program Francais Mikro dan Mampu Milik dengan kos di bawah RM100,000.
Kiok ini adalah hasil kerjasama KPDNHEP dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) di bawah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Rosol berkata, pihaknya sedar bebanan modal permulaan serta kos pakej francais yang tinggi sebelum ini, justeru KPDNHEP giat mempromosikan konsep itu untuk memastikan perniagaan sedia ada semakin berkembang dan peluang perniagaan serta pekerjaan semakin meluas.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/682344/kpdnhep-gesa-peniaga-ambil-peluang-sertai-francais