7 Mei 2023,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mencapai sasarannya dan berjaya menarik nilai potensi pelaburan berjumlah RM30 juta dari Australia menerusi Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne, Australia pada 3 hingga 6 Mei sempena dengan Franchising and Business Opportunities Expo 2023 (FBOE 2023).
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia termasuk hasil gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan potensi eksport dari Malaysia ke Australia.
Menurut beliau, misi tersebut merupakan usaha kerajaan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) untuk memupuk dan menggalakkan lebih banyak eksport francais ke negara luar.
“Sehingga kini sebanyak 68 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 75 negara. Antara jenama Francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Australia ialah Marrybrown, Tealive, Global Art, Smart Reader Kids, Aloha Mental Arithmetic dan banyak lagi.
“Objektif utama misi perdagangan ini adalah bertujuan untuk memacu dan menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Australia termasuk bekerjasama dengan pelabur berpotensi dan bersesuaian melalui pameran ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Salahuddin, syarikat seperti Marrybrown telah melantik francais induk mereka di Australia, manakala Smart Reader Kids telah membuka cawangan keempat di Melbourne.
Jelasnya, perkembangan tersebut merupakan contoh yang baik untuk syarikat lain menembusi pasaran antarabangsa dengan mempromosikan jenama Malaysia, sekali gus meningkatkan reputasi di pasaran eksport antarabangsa.
Justeru, penyertaan yang rancak daripada pemain industri francais semasa misi itu berlangsung dijangka akan membawa lebih banyak jenama yang mapan dari Australia untuk diperkenalkan di Malaysia dan mengukuhkan hubungan ekonomi di antara dua negara.
“Ia adalah satu peluang yang baik bagi syarikat Francais Malaysia untuk bekerjasama dengan bakal ahli perniagaan Francais Australia bagi mengembangkan perniagaan mereka. Saya percaya bahawa terdapat banyak peluang perniagaan untuk diterokai di Australia,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh:https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/257276