29 Jun 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 28 Jun – Estinwira Sdn. Bhd., bakal menerajui francais Kopitiam Killiney di Malaysia dan Asia Barat dengan memfokuskan produk makanan halal.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, ketika ini, usaha untuk mengambil alih perniagaan tersebut oleh syarikat kelolaannya berada dalam proses terakhir rundingan.
“Kita masih berunding dengan Killiney International Pte. Ltd. Singapura (Killiney), dengan pelaburan berjumlah RM68 juta dan proses berkenaan turut mendapat kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PNS).
“Kita menyasarkan pembukaan 30 cawangan menjelang tahun hadapan dan buat masa terdekat, kita akan lancarkan dua cawangan di klia2 dan Gong Badak, Kuala Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar perasmian Killiney Setiawangsa di sini hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Pusat Jagaan Nuri Setapak.
Killiney merupakan kopitiam yang telah beroperasi sejak 1919 di Singapura dan kini mempunyai 93 cawangan di Indonesia, Hong Kong, Australia, Brunei dan China selain Singapura.