22 February 2015 – Sinar Harian
AMS Jutawan Sdn Bhd (AMS Jutawan) bercadang mengembangkan perniagaan kafe bergeraknya, Kopi Manan menerusi rangkaian francais pada masa akan datang.
Pengasasnya, Abd Manan Sulaiman berkata, ketika ini, syarikat itu dalam usaha untuk mengukuhkan jenama Kopi Manan di seluruh negara.
“Buat masa ini, kami bergerak di pasar-pasar tani dan program anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, Kopi Manan mendapat sambutan menggalakkan dan kami akan berusaha bawa jenama minuman ini ke seluruh Malaysia supaya orang ramai tahu jenama ini. Bila orang sudah kenal, mudah untuk kita melakukan langkah seterusnya,” katanya.
Abd Manan berkata, sebelum ini, AMS Jutawan hanya menjual kopi segera tiga dalam satu menerusi jenama yang sama, Kopi Manan, sejak 2012.
Bagaimanapun, katanya, sejak syarikat itu memulakan kafe bergeraknya pada Mac tahun lalu, penjualan kopi segera itu dihentikan untuk memberi fokus kepada perniagaan kopinya yang menggunakan konsep karavan.
“Lagipun, pesaing dalam penjualan kopi segera sangat ramai. Ketika ini, ada lebih 200 jenama kopi segera dalam pasaran.
“Jadi, kami buat kajian pasaran dan mendapati perniagaan kafe bergerak yang menjual kopi ini mempunyai potensi besar dalam pasaran kerana tidak banyak orang tempatan menceburi bidang ini,” katanya.
Menurutnya, dia melabur RM150,000 untuk pembelian karavan yang siap diubahsuai dan dilengkapi peralatan untuk membuat minuman.
“Kami mendapat pembiayaan daripada SME Bank dan suntikan geran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),” katanya.