3 December 2014 – BERNAMA
LABUAN, 3 Dis (Bernama) — Peluang perniagaan francais boleh menjadi platform keusahawanan yang menarik bagi usahawan untuk memulakan usaha mereka di negara ini.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML) Datuk Yussof Mohammad berkata francais merupakan satu daripada cara yang paling cepat untuk melahirkan usahawan dan meningkatkan jumlah usahawan kelas sederhana.
“Memiliki francais bermakna usahawan tersebut hanya perlu mematuhi kumpulan sistem yang telah ditetapkan oleh francaisor dan tidak perlu membuat pelaburan besar untuk membangunkan jenama mereka atau kewujudan di pasaran. Ia boleh menjadi sumber wang yang baik jika dilakukan dengan betul,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Beliau berkata badan koperasi di Labuan bukan hanya menjadi pemerhati semata-mata tetapi perlu menceburi rangkaian francais.
“Perniagaan francais mempunyai masa depan yang cerah berikutan perkembangan pesat model perniagaan, dengan pelbagai skim bantuan kerajaan untuk membantu komuniti perniagaan menceburi sektor ini,” katanya.
Beliau berkata Labuan popular dan hasil tempatannya popular dalam kalangan pelanggan China.
“Kami menerima jumlah tempahan yang besar bagi produk tempatan kami seperti ‘amplang’, ‘kuih cincin’ dan tempura ikan tetapi usahawan kita tidak dapat menangani jumlah tempahan yang besar. Ini akan menghalang usaha kami untuk membangunkan usahawan tempatan kami,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Corporation Datuk Mohd Nadzri Osman berkata sektor koperasi telah memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara, menjadi penyumbang ketiga kepada tabung negara.
Sehubungan itu, katanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (CCM) kini menumpukan kepada perniagaan yang berdaya saing pada skala besar untuk terus membangunkan sektor tersebut.
Mohd Nadzri berkata 27 badan koperasi di pulau bebas cukai itu perlu terlibat secara aktif dalam mana-mana pelan perniagaan dan program perniagaan CCM terutamanya dalam industri francais.
“Perniagaan francais mempunyai potensi untuk menjana pendapatan untuk memberi manfaat kepada anggotanya dan ini perlu diambil kira,” katanya pada program ‘Meningkatkan Aktiviti Koperasi’ di sini pada Isnin.
Program tersebut merupakan anjuran CCM untuk memberi taklimat kepada anggota badan koperasi di Labuan mengenai peranan dan matlamat suruhanjaya serta potensi perniagaan.
Mohd Nadzri turut menyampaikan cek berjumlah RM60,000 kepada Sekolah Menengah Sains Labuan Bhd bagi program dan aktiviti koperasinya.
— BERNAMA