Kuala Lumpur, 14 Disember 2020,
Resepi Arena Sdn Bhd optimis mencapai sasaran jualan RM49.7 juta menjelang tahun depan disumbang oleh pengenalan francais mampu milik dan program dapur mayanya.
Pengarah Urusannya, Amran Abd Hamid berkata, berikutan jualan tahun ini agak terjejas dengan penurunan 30 peratus, pihaknya memberi fokus kepada model perniagaan seperti kios iaitu francais mampu milik dengan kos di bawah RM100,000.
Katanya, syarikat menyasarkan membuka 50 rangkaian francais mampu milik di seluruh Malaysia iaitu 32 daripadanya sekitar Lembah Klang pada tahun depan.
“Pada masa ini, kami melihat perniagaan secara dalam talian semakin mendapat permintaan.
“Juster,u syarikat melakukan penjenamaan semula Dapur Penyet kepada PenyetPenyet.Com pada Oktober lalu dan operasi kami kini melakukan transformasi digital dengan tumpuan terhadap platform dalam talian dan penghantaran.
“Model perniagaan PenyetPenyet.Com masih sama iaitu mengekalkan perniagaan berasaskan masakan dari Indonesia dan sehingga kini kami ada 15 cawangan dengan 180 kakitangan di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, mengenai dapur maya, syarikatnya komited memberi peluang kepada suri rumah di lokasi strategik di Lembah Klang untuk menyertai program terbabit.
Amran berkata, sebagai permulaan pihaknya menyasarkan 100 suri rumah turut serta dan semua peserta diberi bimbingan.
Pihaknya juga menyedikan latihan, bimbingan dan platform untuk menjual.
“Kami mahu bantu suri rumah terpilih menjana pendapatan melalui syarikat kami dan buat masa ini kami masih dalam fasa ujian percubaan serta menjangka ia dilaksanakan awal tahun depan,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/12/652912/kios-francais-mampu-milik