13 Ogos 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Syarikat Estinwira Sdn. Bhd. yang memiliki 15 rangkaian francais Kopitiam Killiney di seluruh negara akan menyalurkan lima peratus hasil jualannya sepanjang bulan ini kepada tabung kemanusiaan Gaza.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, sumbangan tersebut merupakan bantuan untuk menyokong dan membela nasib rakyat Palestin di Gaza yang dizalimi rejim Zionis.
“Secara puratanya, Killiney merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.5 juta sebulan di seluruh negara dengan anggaran sebanyak RM150,000 untuk satu cawangan.
“Jadi, lima peratus daripada jumlah ini akan kita salurkan kepada mana-mana pihak yang menganjurkan tabung kemanusiaan gaza,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Killiney, Muhamad Zaki Noor; Pengurus Pemasaran Aman Palestin Bhd., Mohammad Faizal Mohd. Safri dan wakil rakyat Palestin di Malaysia, Alaa Abdulwahid.
Ahmad Ramzi berkata, langkah itu merupakan salah satu kempen untuk menggalakkan orang ramai tanpa mengira bangsa mahupun agama menderma kepada tabung kemanusiaan Gaza.
“Kita bukannya meminta pelanggan Killiney menderma dengan menyediakan tabung di setiap cawangan, sebaliknya mereka menerima perkhidmatan kami sekali gus dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Killiney berusaha menyalurkan kepada semua saluran tabung kemanusiaan Gaza termasuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan bantuan sedemikian.
“Setakat ini, kita akan menyalurkan sumbangan ini kepada dua tabung iaitu Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad dan Tabung Kecemasan Gaza Karangkraf bersama Aman Palestin.
“Saya menyeru kepada semua badan korporat untuk tampil membantu dalam apa jua bentuk sumbangan kepada rakyat Palestin atas rasa nilai kemanusiaan serta membantah kekejaman ini,” ujarnya.
Sementara itu, Alaa Abdulwahid ketika ditemui turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Killiney yang menjadi antara badan korporat pertama di negara ini yang menyokong bantuan itu.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Killiney kerana sudi memberi sokongan padu dengan menyalurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza,” katanya.