15 Jun 2014 – Sinar Harian
ESTINWIRA Sdn Bhd, pengendali francais Killiney Kopitiam di Malaysia menyasarkan untuk membuka 30 cawangan menjelang akhir tahun ini.
Pengerusi Eksekutifnya Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, setakat ini, Killiney mempunyai 20 cawangan di seluruh negara.
“Cawangan terbaharu di KL Sentral ini ialah cawangan ke-20, dan kami komited untuk perluaskan lagi pasaran Killiney Kopitiam,” katanya dalam majlis perasmian cawangan itu, baru-baru ini.
Katanya, syarikat itu turut menyasarkan jualan RM5 juta jika berjaya mencapai matlamat 30 cawangan itu kelak.
Mengulas perancangan jangka panjang, Ahmad Ramzi berkata, Killiney turut menyasarkan untuk meneroka pasaran di China dan Indonesia, dua negara yang berpotensi untuk memperluaskan jenama Killiney.
“Kami sasar 100 cawangan di Indonesia dan di China 1,000 cawangan,” katanya.
Ahmad Ramzi juga berkata, Killiney mementingkan aspek halal dari segi penyediaan makanan.
Ditanya perancangan untuk membuka cawangan di KLIA2, Ahmad Ramzi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan Malaysia Airports Holdings Bhd.