Subang Jaya, 8 Mac,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yakin bidang keusahawanan khususnya sektor francais negara terus berkembang dan mempercepatkan pembangunan ekonomi negara.
Timbalan Menterinya Datuk R Ramanan berkata, ia selaras dengan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Negara 2030 (Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030).
Menurutnya, Kuskop bukan hanya berperanan sebagai penyokong perniagaan, tetapi juara wawasan ekonomi yang sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani.
“Rangka kerja ini menekankan aktiviti ekonomi berasaskan prinsip etika, keadilan sosial dan kemampanan.
“Rangka Kerja Ekonomi Madani memberi penekanan kepada aktiviti ekonomi yang bertanggungjawab menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan majlis perasmian restoran Supamala Hotpot, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan rasmi sijil halal kepada restoran Supamala Hotpot, yang diwakili oleh pengarahnya, Datuk Azmi Hassan.
Supamala Hotpot turut melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) yang mengiktirafnya sebagai restoran hotpot Szechuan halal pertama di Malaysia
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohamad Fahmi Ngah, selain penampilan istimewa pelakon Farah Nabilah dan Diana Danielle dalam sesi interaktif bersama tetamu.
Sementara itu, Ramanan berkata, sijil halal yang diberikan kepada Supamala Hotpot bukan sekadar tonggak kawal selia, malah bukti komitmen Kuskop untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang memenuhi pelbagai keperluan masyarakat terutama umat Islam.
Menurutnya, pengiktirafan halal itu meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam menyediakan pengalaman gastronomi yang beretika dan halal.
“Penting untuk mengiktiraf implikasi yang lebih luas terhadap landskap ekonomi negara kita.
“Rangka Kerja Ekonomi Madani memberi penekanan kepada aktiviti ekonomi yang bertanggungjawab menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Supamala Hotpot melalui komitmennya terhadap pensijilan halal, menunjukkan bagaimana perniagaan boleh menjadi kuasa untuk perubahan positif, memenuhi keperluan masyarakat di samping memupuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sumber: My Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1067812/kerajaan-yakin-sektor-francais-terus-berkembang