Putrajaya, 7 Mei 2023,
Kerajaan berjaya menarik nilai potensi pelaburan berjumlah RM30 juta dari Australia termasuk hasil gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan dan potensi eksport ke negara itu hasil Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne, Australia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengetuai misi itu ke Franchising And Business Opportunities Expo 2023 (FBOE 2023) diadakan pada 3 hingga 6 Mei lepas berkata ini susulan penyertaan rancak pemain industri francais tempatan dalam pameran tersebut.
Katanya objektif utama misi perdagangan itu untuk memacu dan menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Australia termasuk bekerjasama dengan pelabur-pelabur berpotensi dan bersesuaian.
Beliau berkata lebih banyak jenama francais yang mapan dari Australia akan dibawa masuk untuk diperkenalkan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya.
“Ini akan mengukuhkan hubungan ekonomi di antara dua negara dan Australia antara 10 negara teratas sebagai rakan global Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salahuddin berkata misi perdagangan antarabangsa Francais Malaysia berkenaan adalah yang pertama untuk tahun ini.
Sementara itu, semasa berucap pada Majlis Perasmian Pavilion Malaysia di pameran tersebut, beliau berkata ia satu peluang yang baik bagi syarikat francais Malaysia untuk bekerjasama dengan bakal ahli perniagaan francais Australia bagi mengembangkan perniagaan mereka dalam pasaran Australia.
“Saya percaya terdapat banyak peluang perniagaan untuk diterokai di Australia. Baru-baru ini, Marrybrown telah melantik francaisi induk mereka di Australia manakala Smart Reader Kids telah membuka cawangan keempat di Melbourne.
“Ini adalah contoh yang baik untuk syarikat lain menembusi pasaran antarabangsa dengan mempromosikan jenama Malaysia, sekali gus meningkatkan reputasi Malaysia di pasaran eksport antarabangsa,” katanya.
Selain itu, katanya terdapat cadangan beberapa negara lain untuk misi perdagangan seperti Thailand, Indonesia, Turkiye dan India yang akan bermula Julai hingga Oktober tahun ini.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 68 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 75 negara dan antara yang telah menembusi pasaran Australia ialah Marrybrown, Tealive, Global Art, Smart Reader Kids dan Aloha Mental Arithmetic.
Sempena misi tersebut, beliau turut mengadakan beberapa aktiviti termasuk lawatan ke Australian Business Registry Services (ABRS), Konsulat Jeneral Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), syarikat francais tempatan, agensi, persatuan, pihak berkepentingan serta sesi perbincangan meja bulat dengan pihak Franchise Council of Australia (FCA).
Beliau juga mengambil peluang untuk menziarahi dan menyantuni pelajar Malaysia di Malaysian Hall selain bertemu dengan pemimpin Muslim tempatan iaitu Persatuan Islam Victoria di Masjid Preston.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/05/964131/kerajaan-tarik-rm30-juta-potensi-pelaburan-dari-australia