29 Mei 2014 – ABN News
KUALA LUMPUR – Industri francais dijangka menyumbang sebanyak RM25.6 billion kepada pendapatan negara sejajar dengan peningkatan industri itu yang dilihat sebagai konsisten setiap tahun.
Buktinya sehingga 28 Mei, sejumlah 726 syarikat francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, produk francais telah diterima baik di peringkat antarabangsa hasil usaha bersama antara semua penggiat industri francais di Malaysia.
“Sejumlah 58 jenama francais Malaysia telah melebarkan sayap perniagaan mereka ke 53 buah negara dengan sejumlah 1992 buah outlet di seluruh dunia,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-19 Persatuan Francais Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Kerajaan juga telah merangka pelan induk pembangunan francais nasional (PIPFN) tahun 2012-2016 sebagai inisaitif membangunkan industri francais di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Franchise Malaysia (MFA), Datuk Mohd Latip Sarrugi pula menyifatkan kejayaan ini atas usaha dan pendekatan yang dilaksanakan MFA dengan sokongan KPDNKK.
“Antara usaha-usaha kita ialah melaksanakan misi perdangangan antarabangsa, penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa, menjalinkan hubungan kerjasama dengan badan francais antarabangsa dan banyak lagi,” katanya.
Tambahnya, MFA mensasarkan untuk memperbanyakkan aktiviti mempromosi, memberi kesedaran dan memperkenalkan jenama francais terutamanya jenama tempatan bermula tahun ini.
Dalam majlis yang sama, MFA turut menerima replika cek penajaan bernilai RM35,000 bagi program Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2014 (FIM2104) daripada Smart Reader Worlwide Sdn Bhd.
FIM 2014 bakal berlangsung bermula 13 hingga 15 Jun ini bertempat di PWTC yang mengumpulkan lebih 100 jenama francais tempatan dan antarangsa.
Orang ramai yang berminat dalam indutri francais dijemput hadir bagi merebut peluang menceburi bidang perniagaan ini.