21 November 2014 – Sinar Harian
KENNY Rogers Roasters (KRR) memenangi ‘Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Francais Terbaik’ pada Anugerah Francais Malaysia 2014.
Anugerah berprestij itu menawarkan kepada francais peluang terbaik untuk diiktiraf sebagai penggiat francais utama tahun ini menerusi pelbagai kategori, dengan KRR membezakan diri mereka daripada pesaing lain menerusi pembabitan berterusan mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih holistik.
Ia dilakukan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh KRR Community Chest Campaign yang dibentuk pada 2005 bagi membantu golongan kurang bernasib baik, kata KRR dalam satu kenyataan hari ini.
Pengurus Besar Kanan Berjaya Roasters Malaysia Sdn Bhd, Lee Siew Weng berkata: “Kami sangat berbangga diiktiraf dalam bidang ini kerana sejak ditubuhkan di Malaysia 20 tahun lalu, kami sentiasa komited menyediakan hidangan berkhasiat dengan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami.”
Sebelum ini, KRR menerima Anugerah Superbrands 2013 dalam Kategori Pilihan Malaysia, Anugerah Putra Brand 2013 dan Anugerah BrandLaureate bagi empat tahun berturut-turut. – Bernama