Kuala Lumpur, 20 Mac 2023,
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Kenduri Menu Rahmah yang berlangsung di Dewan Serbaguna Parlimen, pada Isnin.
Kenduri anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu membolehkan ahli Parlimen merasai sendiri kualiti makanan yang ditawarkan menerusi inisiatif Menu Rahmah, yang dilancarkan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebanyak 14 pemain industri termasuk persatuan penyedia makanan yang menawarkan Menu Rahmah berjaya dikumpulkan dalam majlis itu.
“Seramai 2,500 jemputan telah menghadiri kenduri pada hari ini. KPDN mengucapkan terima kasih kepada semua penyedia makanan kerana menyertai majlis kenduri ini dan menyediakan makanan Menu Rahmah kepada jemputan secara percuma.
“Ini menunjukkan sinergi yang positif antara pengusaha makanan dan kerajaan dan manifestasinya adalah kejayaan penganjuran program pada hari ini,” katanya.
Kenduri itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Antara industri dan persatuan yang menyertai majlis kenduri itu ialah Mydin, AEON Big, Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim, Pertubuhan Sahabat Tom Yam Prihatin Se-Malaysia, PLUS Berhad, Marry Brown Sdn Bhd, Old Town White Coffee, McDonald’s Malaysia, Burger King, A&W Malaysia, Texas Chicken Malaysia, Bubblebee, Mios Kitchen dan Temerloh Catering Sdn Bhd.
Menu Rahmah adalah inisiatif terbaharu kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/250616/berita/nasional/kenduri-menu-rahmah-di-parlimen