5 February 2015 – Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 4 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan pertemuan dengan pihak pemborong dan peniaga minggu depan bagi mendapatkan maklum balas berhubung gesaan rakyat yang mahu harga barang diturunkan ekoran penurunan harga minyak.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, dalam isu tersebut beliau perlu adil memandangkan sektor perdagangan dalam negeri yang termasuk pemborong, peruncit serta peniaga adalah di bawah seliaan KPDNKK dan begitu juga dengan pengguna.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan inilah masa paling sesuai untuk golongan tersebut menurunkan harga barang tanpa menjejaskan keuntungan mereka dan langkah tersebut sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
“Perdana Menteri sebut ini adalah masa paling sesuai untuk mereka tunjukkan patriotisme kepada negara iaitu dengan menurunkan harga barang. Mesyuarat Kabinet pagi tadi turut menyentuh perkara yang sama, namun begitu tidaklah sehingga menjejaskan keuntungan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) di kementeriannya di sini hari ini.
Hasan mengulas gesaan beberapa pemimpin politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan peniaga menurunkan harga barang seiring dengan penurunan harga minyak pada tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, pihak penguat kuasa KPDNKK akan terus menjalankan operasi bagi memastikan tiada peniaga menaikkan harga barang sesuka hati selain mengesan mereka yang mengaut keuntungan secara berlebihan.
“Apapun saya sebenarnya mahu mewujudkan suasana cukup harmoni bagi membolehkan peniaga seronok dan begitu juga dengan pengguna,” ujarnya
Dalam perkembangan lain beliau berkata, KPDNKK dengan kerjasama MFA akan menganjurkan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Francais Malaysia (FIM) 2015 kali ke-22 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 hingga 14 Jun ini.
“Bagi penganjuran FIM 2015 ini pihak kementerian dan MFA menyasarkan nilai potensi pelaburan francais sebanyak RM370 juta sepanjang tiga hari pameran,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 300 peserta persidangan antarabangsa dan 12,000 pengunjung dijangka menghadiri program tersebut.