30 Julai 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 29 Julai – JM Bariani House Sdn. Bhd., pengendali rangkaian restoran JM Bariani House melabur sebanyak RM3 juta bagi mengembangkan perniagaan ke Medan, Indonesia dengan pembukaan cawangan di sana pada Oktober ini.
Pengarah Urusannya, Zulkarnain Mustapa (gambar) berkata, PT Royal Bariani Berjaya merupakan pemegang lesen francais induk bagi mengendalikan restoran berkenaan.
Katanya, ia adalah cawangan pertama syarikat di luar negara dan kerjasama strategik itu merupakan platform bagi JM Bariani House untuk memanfaatkan pasaran serantau dan antarabangsa.
“Strategi perniagaan baharu ini dijangka berupaya meningkatkan jualan syarikat sebanyak 25 peratus daripada RM15 juta direkodkan tahun lalu.
“Sekiranya cawangan baharu ini dapat beroperasi dengan berjaya, kami merancang untuk mengguna pakai strategi yang sama untuk ke negara lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Zulkarnain, dalam usaha mengekalkan keaslian nasi beriyani keluaran syarikat itu, pihak pengurusan akan membekalkan rempah ratus diimport dari Malaysia kepada pengusaha francais di Indonesia.
Katanya, menu utama kekal sama dan sajian sampingan seperti gado-gado dan ayam pop akan ditambah untuk disesuaikan dengan selera masyarakat tempatan.
Sehingga kini, JM Bariani House mempunyai 18 cawangan di seluruh negara dan tiga lagi cawangan akan dibuka sebelum akhir tahun ini.
Enam daripada 18 cawangan itu dimiliki oleh syarikat dan selebihnya oleh francaisor tempatan.
Dalam perkembangan lain, ujar beliau lagi, syarikat itu dalam perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan push cart (gerai bergerak) bagi menjual makanan berkonsep ‘ready to eat’ atau sedia untuk dimakan di dalam negara tidak lama lagi.
“Konsep ini hanya memerlukan modal pelaburan kira-kira RM100,000 sahaja berbanding kos yang besar bagi membuka sebuah cawangan restoran yang boleh mencecah sehingga RM400,000,” katanya.