4 Ogos 2014 – Sinar Harian
INDUSTRI francais Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara.
Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh berkata, setakat ini, sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara antaranya Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe.
Katanya, kerajaan Malaysia memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia sejak di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengorak langkah memperkenalkan francais pada 1993.
“Industri ini mempunyai potensi yang besar tetapi tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenainya masih kurang pada waktu itu. Pengguna pada ketika itu mengenali produk francais luar negara seperti KFC, Mc Donald’s dan banyak lagi. Hasilnya, aliran tunai di dalam negara mengalir keluar melalui yuran dan royalti kepada francaisor atau pemilik jenama tersebut,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kini rakyat Malaysia memahami mengenai perniagaan francais dan setiap tahun penyertaannya semakin meningkat.
“Setakat ini jumlah francaisor tempatan adalah 29 peratus melibatkan Bumiputera dan 71 adalah bukan Bumiputera. Francaisinya pula kebanyakannya adalah Bumiputera,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia adalah sebuah negara Islam.
“Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara. Kelebihan yang dimiliki Malaysia seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh usahawan francais untuk memasarkan jenama mereka ke pasaran dunia terutama di Timur Tengah dan negara majoriti penduduk Islam.
Menurutnya, usahawan perlu berani keluar dari pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih baik apabila berjaya berada dalam pasaran antarabangsa.
“Kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara.
“Kerajaan akan membantu usahawan francais ke luar negara. Kerajaan memberikan maklumat dan sokongan tambahan apabila berada di pasaran luar. Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 726 syarikat francais berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan MFA menyasarkan 800 hingga 850 syarikat francais akan berdaftar menjelang akhir tahun ini.
Mohamad Salleh berkata, perniagaan francais juga berdepan dengan pelbagai cabaran iaitu kesedaran untuk meletakkan jenama Malaysia ke kelas dunia.