Utusan Online – 16 Februari 2016
Kamarul Ariff (kiri), menerangkan sesuatu kepada Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, sempena lawatan media ke ibu pejabat Zawara di Ara Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 15 Feb. – Industri francais tempatan tidak terjejas meskipun berdepan keadaan naik turun ekonomi semasa berikutan permintaan oleh pengguna masih berterusan.
Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, sehubungan itu usahawan francais perlu lebih kreatif supaya mampu bertahan dan berdaya saing dalam segmen yang diceburi.
Katanya, PNS pada tahun ini menyasar untuk menyalurkan pembiayaan kira-kira RM40 juta sama seperti jumlah pada tahun lalu.
“Ketika ini, nisbah pembiayaan dana bagi sektor perkhidmatan juga makanan dan minuman (F&B) hampir mencecah 50:50,” katanya kepada pemberita sempena lawatan media ke ibu pejabat Zawara di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Sdn. Bhd., Kamarul Ariff.
PNS merupakan pembiaya perniagaan francais bagi Zawara dengan jumlah pembiayaan yang sudah diterima oleh 12 francaisi sebanyak RM2.1 juta.
Syarikat itu pada tahun ini menunggu kelulusan daripada PNS untuk memperoleh pinjaman sebanyak RM5 juta.
Zawara adalah syarikat tempatan yang menjalankan perniagaan fesyen, kosmetik dan F&B memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM10 juta pada tahun ini.
Diasaskan pada 2009, butik fesyen pertama Zawara dibuka pada Januari 2013 dan sehingga kini memiliki sebanyak 19 butik di seluruh Malaysia.
Zawara berasal daripada perkataan Arab iaitu Zuwar bermaksud tetamu. Syarikat itu pada masa akan datang berhasrat untuk mempelbagaikan portfolionya kepada segmen resort, penerbangan dan akademi.
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/industri-francais-tidak-terjejas-1.191017