3 April 2014 – Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 2 April – Industri francais negara semakin menunjukkan perkembangan positif berikutan terdapat 56 buah syarikat francais tempatan berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka 1,980 outlet di 52 buah negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, perkembangan itu menunjukkan industri francais di Malaysia mampu bersaing hingga ke pasaran antarabangsa sekali gus membuktikan potensi produk tempatan setaraf dengan produk luar.
Malah beliau berkata, kejayaan itu juga seharusnya membuka mata semua pihak terutama dalam konteks menyakini kemampuan serta kompetensi produk-produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh syarikat francais tempatan.
Saya percaya statistik ini akan dapat dipertingkatkan lagi melalui penyertaan misi promosi francais Malaysia ke luar negara sepanjang tahun ini selain meneruskan program yang sama di peringkat tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Francais 2014 di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad.
Dalam pada itu Hasan berkata, usaha kerajaan dalam membantu mengembangkan industri francais semakin menampakkan kejayaan apabila 713 syarikat francais daripada pelbagai sektor telah didaftarkan di bawah Pendaftar Francais sehingga kini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, industri francais negara dijangka mampu memberi sumbangan sebanyak RM25.6 bilion atau tiga peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.
Pada tahun lepas, industri francais menyumbang sebanyak RM24.3 bilion atau 2.8 peratus kepada KDNK.
Kita yakin dapat memberi sumbangan lebih tinggi pada tahun ini dengan jangkaan pertambahan sebanyak 780 francaisor yang turut mengintai peluang pasaran keempat pasaran baharu iaitu Sweden, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Rusia,” katanya.
Sementara itu katanya, pada 28 hingga 30 Mac lalu, pihak kementerian diketuai Ketua Setiausahanya telah menyertai program Peluang Perniagaan dan Francais Sydney di Australia yang secara langsung dapat mengetengahkan produk francais tempatan ke mata dunia.
Melalui penyertaan itu katanya, pavilion Malaysia di program berkenaan telah mendapat sambutan begitu menggalakkan.
Dianggarkan sebanyak RM25.3 juta nilai potensi pelaburan francais telah direkodkan melalui urusniaga di antara 13 francaisor tempatan dengan 100 bakal francaisi luar negara yang berpotensi,” ujarnya.
Mengenai Hari Francais 2014, Hasan berkata, program berkenaan yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun ini bertujuan untuk mempromosikan bidang keusahawanan francais kepada orang awam, penjawat awam, pesara dan bakal pesara.
Melalui program ini kementerian telah menganjurkan pameran selama dua hari bermula hari ini melibatkan penyertaan 61 gerai pameran yang terdiri daripada syarikat francais tempatan dan francaisi induk dalam mempromosikan produk masing-masing,” katanya.