14 Disember 2014 – Utusan Malaysia
Lebih 7,000 francaisi di seluruh negara
PUTRAJAYA 13 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin industri francais dapat menyumbang sebanyak RM25.4 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, keyakinan itu berdasarkan sumbangan industri tersebut berjumlah RM24.6 bilion atau 2.5 peratus kepada KDNK pada tahun lalu.
Katanya, pertumbuhan memberangsangkan industri tersebut adalah berikutan wujudnya sebanyak 7,525 perniagaan francaisi milik usahawan tempatan di seluruh negara.
“Sehingga kini, sebanyak 757 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan di pejabat francais KPDNKK.
“Kerajaan juga menggalakkan usahawan baharu terutama pesara, siswazah, penjaja, wanita, ibu tunggal dan orang kurang upaya terlibat dalam industri ini kerana pelbagai bantuan telah disediakan, malah dalam pengumuman Bajet 2015 baru-baru ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program francais komuniti zon tengah di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd. Latip Sarrugi.
Hasan berkata, sejak perniagaan francais diperkenalkan pada tahun 1992, bilangan syarikat yang melibatkan diri dalam perniagaan tersebut terus meningkat sama ada di dalam atau luar negara.
Katanya, di luar negara terdapat sebanyak 58 jenama Malaysia dipasarkan di 53 negara di seluruh dunia dengan melibatkan lebih 2,400 kedai.
Menyentuh tentang pameran tersebut, Hasan berkata, pada pameran kali ini pihaknya telah membawa sebanyak 21 jenis sistem perniagaan francais mikro yang bernilai di bawah RM50,000 dan makro lebih RM50,000 untuk dipamerkan.
Katanya, pameran selama dua hari itu memberi peluang kepada usahawan berminat mendapatkan perkhidmatan seperti maklumat dan bimbingan untuk mendaftarkan perniagaan atau cap dagangan serta mengetahui lebih lanjut tentang program francais.