Putrajaya, 14 Oktober 2021,
Kerajaan positif industri francais dijangka mencatat nilai jualan berjumlah RM13 bilion pada tahun ini berdasarkan kekuatannya biarpun dalam tempoh pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka itu adalah lebih baik berbanding tahun lalu yang merekodkan nilai jualan sekitar RM5.2 bilion berbanding RM13.3 bilion pada 2019 dengan menyediakan lebih 80,000 peluang pekerjaan dengan anggaran sumbangan gaji sebanyak RM1.4 bilion.
Kata beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM11.16 bilion.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, usaha pelbagai agensi dan pemain industri amat diperlukan dalam memulihkan semula momentum industri francais negara yang terjejas akibat pandemik,” katanya ketika melancarkan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2021 (FIM2021) ke-28 secara maya, pagi ini.
Yang hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.
Ismail Sabri berkata, dalam usaha mencapai sasaran itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Francais Yang Dipertingkat (EFDP).
Kata beliau, program itu bertujuan memberi latihan kepada usahawan francais tempatan untuk mereka melengkapkan diri dengan amalan serta pengurusan francais antarabangsa, padanan perniagaan serta misi perdagangan selain pembayaran balik kos eksport.
Perdana Menteri berkata, usaha yang dilaksanakan melalui Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik bakal membuahkan hasil menjelang akhir tahun ini, apabila usahawan francais memulakan perniagaan masing-masing.
“Kerajaan kekal komited dalam menyokong perkembangan industri francais melalui pelbagai inisiatif bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia sentiasa menyesuaikan diri dengan dasar menyokong francais serta mengalu-alukan francaisor antarabangsa untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini.
Beliau berkata, ia selari dengan sasaran negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais untuk ASEAN.
“Dalam kerangka dasar itu, sudah ada program yang menyasarkan kepada usahawan muda untuk mendapat peluang sama rata kepada sumber. Ini boleh dicapai melalui geran yang ditawarkan kerajaan melalui Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.
“Melalui program ini, pemilik perniagaan baharu ditawarkan geran padanan, manakala geran penuh diberikan kepada pemilik francais untuk berkembang bagi menyediakan lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/industri-francais-sasar-catat-nilai-jualan-rm13-bilion-tahun-ini/