26 November 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Perkembangan francais semakin positif di Sabah apabila enam syarikat francais telah diwujudkan di negeri tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, syarikat terlibat ialah Sunshine Mastercare Sdn. Bhd., DEC Daily Electronics, Coco Blue Sdn. Bhd., Vedablu Global, Al-Hadanah Centre dan Nuvis Sabah Training dan Konsultansi.
Katanya, pertumbuhan perniagaan di Sabah menunjukkan perniagaan francais diwujudkan tidak hanya tertumpu kepada perniagaan berasaskan makanan, malah memfokuskan sektor seperti pendidikan iaitu Tadika Sunshine, kedai peralatan elektronik dan bidang kecantikan.
Tambahnya, bagi 2015, sebanyak RM3 Juta diperuntukan untuk pembiayaan francais di Sabah dan program seperti francais komuniti, latihan serta seminar berkaitan akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.
“Tumpuan tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu sahaja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), akan meluaskan rangkaian promosi ke kawasan berpotensi seperti di Tawau, Keningau dan Kota Marudu.
“Usaha ini selaras dengan hasrat kementerian untuk melihat perniagaan francais ini berdaya saing supaya terus maju dan boleh menembusi pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Industri francais di Malaysia kini berkembang pesat dengan menyaksikan sebanyak 757 syarikat francais tempatan telah berdaftar dengan KPDNKK.
Hasan berkata, Sabah mempunyai potensi amat baik dalam perniagaan francais justeru penubuhan pejabat PNS di sana menunjukkan tanda sokongan kementerian khususnya bagi memastikan perkembangan perniagaan berasaskan francais seiring dengan permintaan masyarakat terhadap kepelbagaian bentuk perkhidmatan dan produk.
“Sebanyak RM2.1 juta pembiayaan telah diluluskan oleh PNS kepada 23 orang francaisi yang membuka pelbagai jenis perniagaan francais dan jumlah peruntukan ini akan ditambah dari semasa ke semasa sekiranya mendapat permintaan.
“Kini, jenama francais tempatan seperti Focus Point, GlobalArt, Sugarbun, Nelson, Q-Dees Kindergarden, Pusat Tuisyen Mawar dan banyak lagi boleh didapati di Sabah,” katanya.
Menurut Hasan, PNS melalui program Business In Transformation (BIT) juga berjaya mewujudkan perniagaan prafrancaisor yang menjalankan perniagaan keropok lekor di Sabah dengan jenama Keropok Lekor Masyhur dan setakat ini sebanyak 80 rakan niaga atau para francaisi diwujudkan.