Kuala Lumpur, 29 Mei 2024,
Nilai industri francais Malaysia dijangka melonjak sehingga melebihi RM46 bilion menjelang 2025, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai komponen penting ekonomi negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, industri francais teguh dengan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 15 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.
“Pertumbuhan ini adalah bukti kepada daya tahan dan potensi sektor francais di Malaysia, yang terus menarik minat usahawan dan pelabur.
“Pada tahun 2022, industri francais menyumbang lebih RM36 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, menonjolkan kesan ekonomi yang ketara.
“Secara tidak langsung meletakkan sumbangan sektor ini sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya di Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan) Kuskop, Noor Afifah Abdul Razak; Ketua Pengarah Francais Antarabangsa Malaysia 2024, Deric Yeo dan Pengarah Persidangan Francais Antarabangsa 2024, Prof Azmawani Abdul Rahman.
Suriani berkata, jenama francais tempatan bukan sahaja pemacu ekonomi tetapi juga duta keusahawanan dan budaya Malaysia di persada global.
“Menyokong mereka bukan sekadar langkah strategik tetapi komitmen dalam mempamerkan inovasi dan warisan negara kita di seluruh dunia,” katanya.
Tambahnya, inisiatif Program Pembangunan Eksport Francais Dipertingkat (EFDP), direka khusus untuk melengkapkan jenama tempatan dengan alat dan pendedahan yang diperlukan untuk ke peringkat antarabangsa.
“EFDP penting dalam mendorong jenama Malaysia menjadi tumpuan antarabangsa serta menarik pelaburan asing ke dalam ekosistem francais.
“Komitmen kerajaan terhadap kejayaan mereka (usahawan) adalah bukti kepercayaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta masa depan yang lebih makmur untuk Malaysia,” katanya.
Mengulasnya lanjut, beliau berkata, Malaysia muncul sebagai mercu tanda kejayaan dalam francais kerana penyertaan yang aktif di peringkat global.
Sumber: My Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/05/1095423/industri-francais-komponen-penting-ekonomi-negara#google_vignette