22 April 2015 – Sinar Harian
BERBEKALKAN wang modal berjumlah RM2,000.00 ketika memulakan perniagaan House of Cosry pada 2005, Pengarah Urusan Cosry Wise (M) Sdn. Bhd., Ariff Quasri bersama rakan kongsinya Pengarah Kreatif Cosry, Putra Aziz memulakan perniagaan mereka dengan menjual pakaian dari rumah ke rumah.
Walaupun Ariff tidak mempunyai pengalaman dalam bidang fesyen namun minat dan semangat untuk terjun ke bidang itu tidak pernah pudar.
Dengan pertolongan sahabatnya itu, dia menggunakan modal tersebut untuk membeli fabrik dan kelengkapan menjahit baju kebaya eksklusif untuk majlis perkahwinan.
Tanpa disangka, baju rekaan Cosry diterima baik oleh masyarakat sekeliling sehingga dia dijemput untuk menyertai pertunjukan fesyen sempena majlis hari lahir adinda Sultan Selangor.
“Ia merupakan pertunjukan fesyen pertama kami sehingga model ‘runaway’ di kalangan teman-teman kami sendiri. Saya bersyukur segalagalanya berjalan dengan lancar.
Bahkan cukup bertuah dengan sokongan daripada rakan kami biarpun melakukan kerja tanpa sebarang bayaran,” katanya.
Selepas majlis tersebut, fesyen kebaya Cosry mendapat sambutan positif sehingga menjadi tumpuan media terutamanya Kumpulan Media Karangkraf.
Bermula dari situ, nama Cosry menjadi perhatian golongan selebriti termasuk Maya Karin, Erra Fazira, Mawi, Lisa Suriani, Dato Dr Sheikh Muzaffar, Dato Sheila Majid, Fauziah Ghous dan ramai lagi.
Antara faktor nama Cosry mula meniti di bibir pelanggannya adalah disebabkan fabrik yang digunakan sangat berkualiti disamping rekaan yang menarik.
Penjenamaan semula
Berkat usaha Ariff dan Putra, jenama yang sering menjadi pilihan artis dan VIP ini memindahkan butik mereka yang dahulunya sebuah banglo yang diubahsuai.
Kini mereka memilih premis baharu yang terletak di No 4, Jalan Telawi 5, Bangsar Baru, Kuala Lumpur.
Butik lama Cosry yang berada berdekatan dengan butik baharu kini dijadikan ‘production house’ bagi mengeluarkan busana pengantin dan baju ‘ready-to-wear’ Cosry.
“Inilah bukti kegigihan usaha keras kami selama ini. Bermula dengan kedai kecil di Seksyen 13, Shah Alam kemudian ke Bangsar.”
“Ketika itu, kami satu-satunya anak Melayu yang berani memilih kawasan ini sebagai lokasi perniagaan,” katanya.
Bercakap mengenai premis baharu itu, Ariff berkata lokasi tersebut lebih strategik dan mesra pelanggan kerana butik lama tidak boleh dipasang papan tanda.
Katanya, ramai yang menyangka butik tersebut eksklusif kepada tertentu sahaja seperti VIP, korporat dan kenalan rapat.
Dua francais House of Cosry bakal dilancarkan
Untuk meluaskan perniagaan mereka, Ariff telah menerima bantuan kewangan daripada SME Bank pada tahun 2012 melalui kemudahan Pembiayaan Tabung Usahawan Siswazah (TUS).
TUS adalah dana khusus yang disediakan bagi menggalakkan lebih ramai graduan menyertai bidang perniagaan. Ia merupakan skim pembiayaan bagi para graduan yang ingin memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.
Berbekalkan bantuan pembiayaan tersebut, Ariff telah mengubah suai butiknya dan mengimport fabrik daripada China seperti chiffon, crepe, lace, wool, linen dan sebagainya untuk dijadikan koleksi ‘ready-to-wear’.
Mengulas lebih lanjut mengenai perancangan perniagaannya, Ariff berkata Cosry bakal melancarkan francais pertama ‘ready-to-wear’ di Nu Sentral pada Mei ini.
Selain di pusat membeli belah itu, outletnya boleh didapati di The Curve dengan konsep yang diadaptasi daripada butik terkenal seperti Zara, H&M dan Mango.
“Konsep yang dipilih ini berdasarkan pemerhatian yang dilakukan pihak kami mengenai trend golongan muda sekarang.”
“Bahkan harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu dimiliki. Selepas ini kami berharap francais Cosry dapat dilebarkan ke seluruh Asia,” katanya.
Terbaharu, mereka berjaya membuka butik Cosry di Makkah yang menjual pelbagai rekaan ‘dress’ yang bersesuaian dengan budaya masyarakat di sana.
Tidak terhenti di situ sahaja, Cosry kini dalam proses penyelidikan untuk mengeluarkan jenama pewangi baharu yang dinamakan Dione Cosry, khas untuk pasaran Thailand.
“Segala-galanya masih lagi di peringkat awal dan kami sedang mengkaji wangian yang terbaik untuk jenama minyak wangi keluaran Cosry.”
“Kami punyai banyak perancangan akan datang namun biarlah selesai satu persatu supaya tidak berlaku kekalutan di kemudian hari,” katanya.