9 JULAI 2013 – UTUSAN MALAYSIA
KULIM 8 Julai – Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. merancang membuka dua buah hotel dalam tempoh hujung tahun ini hingga awal tahun depan, sejajar dengan pertumbuhan pesat sektor pelancongan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Azman Tambi Chik berkata, pembukaan dua hotel masing-masing di Kelantan dan Sabah itu bakal melengkapkan rangkaian Hotel Seri Malaysia di semua negeri di negara ini.
Menurut beliau, proses perbincangan untuk mewujudkan hotel tersebut kini di peringkat akhir dan sekiranya berjalan lancar, projek pembinaan dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat.
“Di Kelantan, tapak lokasi telah dikenal pasti begitu juga di Sabah yang mana anak syarikat Kerajaan Negeri berminat untuk mengadakan operasi Hotel Seri Malaysia. Hotel baharu berkeluasan antara dua hingga enam ekar ini dibina melalui konsep ‘bina dan miliki’ (build and ownership).
“Dengan pembukaan hotel baharu ini, ia akan memperluaskan kawasan operasi Hotel Seri Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan kempen promosi Bufet Ramadan Hotel Seri Malaysia Kulim, di sini hari ini.
Yang hadir bersama ialah Pengurus Besar Hotel Seri Malaysia Kulim, Husni Husain dan Pengurus Hotel, Haidar Zofrain Mohd. Daud.
Azman memberitahu, buat masa ini, rangkaian tersebut mempunyai 21 buah hotel di seluruh negara yang mana 15 daripadanya dikendalikan secara francais.
Katanya, antara lokasi hotel itu adalah di Alor Setar, Bagan Lalang (Sepang), Ipoh, Johor Bahru, Kepala Batas, Kuala Terengganu, Kuantan, Kulim, Marang, Mersing, Port Dickson, Pulau pinang, Rompin, Seremban, Sungai Petani, Taiping, Temerloh, Kangar, Melaka, Genting Highland dan Lawas di Sarawak.
“Secara keseluruhannya, rangkaian hotel terbabit mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menunjukkan prestasi terbaik. Kekuatan Hotel Seri Malaysia sebenarnya terletak pada faktor lokasi yang strategik dan layanan bertaraf lima bintang meskipun hotel-hotel kami hanya bertaraf tiga bintang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini turut menjalankan proses penjenamaan semula hotel dengan pengenalan logo baharu di samping mengubah suai kemudahan hotel seluruh negara.
“Kita telah mengambil langkah menukarkan kemudahan seperti pendingin hawa kepada set baharu dan set televisyen kepada 32 inci.
“Proses ini berjaya dilaksanakan di 16 hotel rangkaian dan akan diperluaskan ke semua rangkaian,” katanya.