6 September 2014 – Sinar Harian
SEKTOR francais negara berada pada tahap membanggakan berikutan sejumlah 743 francaisor dalam pelbagai sektor, berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Francais Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), setakat 30 Ogos lepas.
Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata daripada jumlah tersebut, 7,405 perniagaan francaisi, berjaya diwujudkan.
“Saya yakin menerusi program jelajah yang dibuat, bilangan dan francaisi akan bertambah berdasarkan kelebihan sistem francais yang merupakan kaedah berkesan untuk mewujudkan keusahawanan dalam kalangan semua lapisan masyarakat, selain memudahcarakan lebih banyak perniagaan mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem francais,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Francais Komuniti peringkat negeri, di Kota Kinabalu hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sistem francais juga diiktiraf sebagai kaedah yang amat popular dan berkesan di luar negara dengan sehingga kini, sejumlah 58 jenama francais tempatan berkembang ke 53 negara asing dengan mewujudkan sejumlah 2,119 premis perniagaan termasuk Tokyo, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.
Beliau berkata industri francais negara menyumbang sebanyak RM25.4 bilion atau 2.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013, yang merupakan jumlah yang sangat besar, dan dijangkakan dapat dipertingkat tahun depan.
Hassan berkata kerajaan memperuntukkan RM8 juta pinjaman mudah kepada peniaga francais mikro dan kecil tahun ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah dalam perniagaan francais.
“Kita juga sasar peningkatan perniagaan francais sebanyak 5 peratus setiap tahun berdasarkan kedudukan negara ini, antara beberapa negara di dunia, yang mempunyai infrastruktur pembangunan industri francais yang komprehensif dan kukuh dari segi perundangan, pengawalseliaan, pembangunan dan pembiayaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hassan berkata kementerian itu akan menambah 472 pegawai penguat kuasa, termasuk di Sabah, menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.
Beliau berkata langkah itu bagi melengkapkan kira-kira 1,800 pegawai penguat kuasa, dalam memantau peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.
Program jelajah dua hari itu disertai 23 jenis perniagaan francais, termasuk dari Semenanjung dan Sabah yang menawarkan sistem francais mikro bernilai kurang daripada RM50,000 serta sistem francais makro melebihi RM50,000, agensi kerajaan terutama agensi kementerian berkaitan.
Dalam kenyataan media yang diedarkan sempena majlis itu, kementerian akan melaksanakan 25 siri jelajah program Francais Komuniti di setiap negeri, dan sejak 2011, pencapaian anggaran nilai belian francaisi berjumlah RM23.5 juta bagi francais mikro dan RM164.8 juta bagi francais makro, selain kejayaan mewujudkan 280 francais mikro baharu. – Bernama