UTUSAN MALAYSIA – 4 APRIL 2016
KUALA LUMPUR 3 April – Kumpulan Halcent (Halcent) bercadang untuk mengambil alih hotel di blok F Abraj Tower, Arab Saudi melibatkan urus niaga bernilai 3.8 bilion riyal (RM4.11 bilion).
Abdul Halim Navaghani
Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Abdul Halim Navaghani berkata, buat masa ini perbincangan masih lagi berjalan dengan pengurusan Abraj Tower termasuk meneliti kertas cadangan kewangan yang disediakan oleh dua buah bank pelaburan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dubai dan Indonesia.
Katanya, dalam masa sama, Halcent turut bersaing dengan satu lagi syarikat berpangkalan di Arab Saudi, Bin Laden Group yang turut menunjukkan minat dalam pengambilalihan tersebut.
“Ketika ini, kami masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan Abraj Tower untuk pengambilalihan hotel ini bagi memenuhi permintaan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Penglibatan Halcent dalam industri perhotelan bermula dengan penyewaan bilik di Mekah dan Madinah sejak empat tahun lalu.
Hotel di blok F tersebut merangkumi 1,600 unit hotel siap dihuni selama 22 tahun dengan jarak sekitar 70 meter dari Masjidil Haram.
Dalam pada itu, menurut Abdul Halim, berbekalkan pengalaman menerusi sebuah anak syarikat iaitu Halcent International Sdn. Bhd. berjaya mengeksport makanan halal ke beberapa buah negara termasuk Arab Saudi dan pengiktirafan sebagai Syarikat Halal Terbaik pada Ekspo Halal Moscow 2015, Halcent mahu melebarkan sayap dalam industri francais makanan di Arab Saudi.
Katanya, menerusi kerjasama dengan Papparich, Halcent akan membuka tiga cawangan Papparich Ekspress di Mekah, Madinah dan Jeddah di samping beberapa cawangan di Malaysia.
“Pemilihan francais Papparich dibuat berdasarkan kepada kualiti operasi prosedur standard (SOP) mereka yang lengkap dalam pengurusan perniagaan makanan berbanding francaisor lain,” katanya.
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/halcent-cadang-ambil-alih-hotel-di-arab-saudi-1.208302