22 Jun 2020,
HAJRIS F&B Sdn Bhd, francaisor restoran Q Bistro menambahbaik kaedah pesanan di rangkaiannya dengan memperkenalkan sistem pesanan tanpa sentuh.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riyasutin Mohamed Dulkif berkata, buat masa ini hanya dua daripada 10 restoran Q Bistro yang menyediakan sistem itu iaitu Q Bistro Bangsar dan TTDI.
Namun, katanya, sistem berkenaan akan diperluaskan ke semua restoran Q Bistro tidak lama lagi.
“Malah, Q Bistro mengetengahkan konsep kedai nasi kandar moden dan selesa untuk kunjungan pelbagai peringkat pelanggan terutama untuk kunjungan seisi keluarga.
“Pesanan tanpa sentuh ini cara mudah serta cepat untuk memesan makanan selain mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, beliau mengakui pendapatan syarikat menurun hingga 50 peratus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sejak diberi kelonggaran pihaknya melihat momentum perniagaan semakin baik.
Mengenai perancangan syarikat meluaskan rangkaian, Riyasutin berkata, pihaknya menyasarkan membuka 10 lagi cawangan Q Bistro di seluruh negara.
“Bagaimanapun, kami terpaksa tangguhkan dulu bergantung kepada keadaan pasaran sekarang.
“Tetapi menjelang suku ketiga 2021, kami akan meneroka pasaran luar negara berikutan menerima permintaan francais di Australia, Hong Kong, Jakarta, China, Afrika Selatan, United Kingdom dan Singapura,” katanya.
Sumber; Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/06/592246/guna-sistem-jimat-belanja