3 Disember 2014 – Harian Metro
Putrajaya: Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), cabang pelaburan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) yang menguruskan Gloria Jean’s Coffees bakal memperluaskan industri francais berkenaan menerusi pembukaan cawangan baru di Jakarta, Indonesia tahun depan.
Tanpa memaklumkan secara terperinci berhubung perkara itu, Pengerusi MyFranchise Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, cawangan terbaru berkenaan yang dijangka dibuka di kompleks beli-belah masih dalam peringkat perbincangan bersama Gloria Jean’s Coffees International.
“Kami akan memaklumkannya apabila sudah tiba masanya nanti dan setakat ini, ia dalam perbincangan bersama Gloria Jean’s Coffees International.
“Saya menunggu keputusan daripada pihak berkenaan. Perkara ini masih dalam rundingan,” katanya pada Majlis Pembukaan Gloria Jean’s Coffees Cawangan Putrajaya di Menara Ikhlas, semalam.
Pada majlis sama, Pengasas Malaysia Book of Records (MBR) Tan Sri Danny Ooi menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Ahmad Shalimin berhubung kajian proses ‘cupping’ (pencawanan kopi) di puncak Gunung Kinabalu pada Mac lalu.
Selain itu, Ahmad Shalimin berkata, MyFranchise optimis untuk membuka lapan lagi cawangan Gloria Jean’s Coffees di Lembah Klang, Kedah dan Terengganu menjelang akhir tahun ini.
Katanya, pembukaan lapan cawangan baru itu adalah sejajar dengan matlamat pihaknya bagi mencapai sasaran 45 cawangan francais berkenaan di seluruh negara tahun ini.
“Walaupun kami sudah berada dalam bulan Disember, kami optimis mencapai sasaran 45 cawangan yang disasarkan pada tahun ini dengan lapan pembukaan cawangan baru nanti,” katanya.