Sinar Harian – 19 November 2015
KERAJAAN menyasarkan kira-kira 1,000 syarikat francais baharu bakal ditubuhkan pada tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainudin berkata, sasaran itu berdasarkan peningkatan syarikat yang mendaftar untuk menjadi syarikat francais.
“Industri francais telah memberikan sumbangan yang agak signifikan kepada ekonomi negara. Pada tahun lalu, sumbangan industri ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berjumlah RM26.5 bilion.
“Ia bersamaan dengan 2.5 peratus daripada KDNK negara. Untuk tahun ini, kerajaan menyasarkan sumbangan industri francais kepada KDNK Malaysia adalah RM26.8 bilion,” katanya ketika berucap untuk merasmikan Malam Anugerah Francais Malaysia (MAF) 2015 di Petaling Jaya, kelmarin.
Menurutnya, kerajaan kini sedang bergiat aktif mempromosikan jenama francais tempatan, baik di peringkat nasional ataupun di antarabangsa melalui pelaksanaan misi mempromosikan francais ke luar negara yang dinamakan ‘Franchise Malaysia Goes Global’.
Katanya, usaha dan pendekatan kerajaan itu mendapat perhatian di peringkat antarabangsa oleh Majlis Francais Dunia (WFC), sebuah badan menggabungkan semua persatuan francais di seluruh dunia.
“Badan ini telah memberi pengiktirafan kepada kerajaan dalam usaha untuk menggalakkan pertubuhan syarikat francais di dalam dan luar negara.
“Sehingga 17 November lalu, jumlah perniagaan francais yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK adalah 794 jenama, di mana 552 adalah jenama francais tempatan manakala selebihnya adalah jenama francais asing,” katanya.
Justeru, Hamzah menyeru kepada semua agensi kerajaan, institusi kewangan dan swasta dapat memberikan sokongan lebih jitu kepada industri francais supaya ia akan terus memberi sumbangan yang positif terhadap pertumbuhan negara.
Sebanyak 12 buah anugerah yang dipertandingkan dalam MAF bagi menggalak syarikat francais serta francaisor untuk memberikan prestasi serta kualiti terbaik kepada pelanggan mereka.
Bagi anugerah yang paling berprestij iaitu Anugerah Francaisor Terbaik, restoran makanan laut, The Manhattan Fish Market dipilih sebagai pemenang dalam kategori berkenaan.
URL : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/giat-promosi-jenama-francais-tempatan-1.453219