13 March 2015 – Sinar Harian
JENAMA francais Malaysia semakin mendapat tempat di luar negara dengan jumlah 60 jenama francais tempatan menembusi 55 buah negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, potensi jenama francais Malaysia telah berkembang pesat dan ia secara tidak langsung meningkatkan aliran wang masuk ke Malaysia dengan peningkatan eksport produk tempatan ke luar negara.
Antara jenama francais tempatan seperti Nelson’s Franchise (M) Sdn Bhd, Daily Fresh Food Sdn Bhd, D’Tandoor Food Industries Sdn Bhd, Marrybrown Fried Chicken Sdn Bhd, Nineteen O One Sdn Bhd, Original Penang Kayu Nasi Kandar, Secret Recipe Sdn Bhd dan kedai emas Tomei Gold & Jewellery Sdn Bhd serta pusat pendidikan kanak-kanak iaitu Smart Reader Kids dan Q-dees Worldwide Edusystems (M) Sdn Bhd.
“Justeru, kementerian berharap lebih banyak penyertaan usahawan dalam industri francais tempatan terutama daripada pihak koperasi yang dilihat mempunyai kapasiti dan peluang besar untuk berkembang dalam industri ini,” katanya.
Hasan berkata demikian pada sidang media selepas program ramah mesra bersama pemimpin koperasi dan pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan, di sebuah hotel, di Kuala Pilah, kelmarin.
Beliau berkata, dari segi pendapatan francais dalam dolar Amerika Syarikat, Malaysia berada pada kedudukan keempat jika dibandingkan negara jiran serantau iaitu jumlah pendapatan AS$7.5 bilion (RM27.7 bilion).
“Secara tidak langsung, industri francais di negara ini berada di landasan yang kukuh dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2014, meningkat kepada RM25.9 bilion berbanding RM24.6 bilion pada 2013.
“Menerusi kejayaan ini, Pelan Induk Pembangunan Francais 2012 dengan matlamat utama menjadikan Malaysia sebagai hub francais di Asia Tenggara menjelang tahun 2020 hampir menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, bagi memperkasakan industri francais negara, kerajaan sedang melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional yang dilaksanakan secara tiga fasa.
“Fasa pertama dari 2012 hingga 2014 membabitkan pengukuhan manakala fasa kedua dari 2015 hingga 2016 mewujudkan francais domestik yang dinamik dan fasa ketiga bermula 2017 hingga 2020 untuk menjadikan industri francais sebagai pusat Asia Tenggara.
“Pada masa ini juga, terdapat 523 jenama francais tempatan iaitu 68 peratus dari perniagaan yang telah berdaftar dengan KPDNKK manakala 32 peratus lagi merupakan jenama asing,” katanya.