1 Disember 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 30 Nov. – Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) menyarankan pemain industri tempatan francais bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menggalakkan pertumbuhan francais dalam kalangan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, AEC yang akan dilaksanakan tahun hadapan sangat penting dan pelbagai aspek perlu dititik beratkan untuk mempermudah penggerak francais seperti francaisor dan francaisi bersaing dengan negara luar.
Katanya, agensi seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA), Persekutuan Rantaian Runcit Francais (ARFF) dan Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia (MRCA) perlu memikirkan cara untuk menjadikan francais antara intipati pembentangan AEC oleh Perdana Menteri nanti.
“PNS sentiasa terbuka untuk berganding bahu dengan agensi berkaitan menggunakan francais sebagai mekanisme ke arah usaha menggalakkan perpaduan dan perkongsian dalam kalangan anggota AEC.
“PNS menerusi Akademi PNS bersedia menyediakan latihan kepakaran berkaitan di samping meningkatkan profesionalisme dalam kalangan usahawan francais sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mengenai usaha meneroka peluang francais di peringkat global, beliau berkata, PNS menggiatkan usaha mengadakan misi dagangan asing ke negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Dubai dan Abu Dhabi.
Menurutnya, susulan daripada misi dagangan PNS ke Dubai, terdapat 10 syarikat induk francais terdiri daripada segmen perniagaan makanan dan minuman serta pakaian yang berminat untuk membawa masuk jenama mereka ke Malaysia.
“PNS justeru sedang berusaha mencari pemadanan syarikat bersesuaian dan bekerjasama dengan World Franchise Associates (WFA) untuk membawa masuk syarikat dari Dubai berkenaan ke Malaysia.
“Sebelum akhir tahun ini, PNS juga bakal mengadakan misi dagangan terakhir ke Taiwan bagi melihat model perniagaan francais mikro di negara berkenaan dan melaksanakan padanan perniagaan dengan negara itu,” katanya
– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/francais-perlu-terokai-aec-1.31160#sthash.7loR30RV.dpuf