23 April 2015 – Berita Harian
PUTRAJAYA: Program ‘Franchise Malaysia Goes Global’ berjaya mengembangkan perniagaan 60 syarikat francais tempatan di 55 buah negara menerusi kewujudan 2,380 premis.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek, berkata perniagaan francais tempatan itu turut beroperasi di beberapa bandar raya utama dunia, antaranya Tokyo, London, New York dan Sydney.
“Kejayaan mewujudkan lebih 2,000 premis ke serata dunia ini membuktikan syarikat francais Malaysia juga mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan syarikat francais luar negara,” katanya ketika berucap merasmikan program Hari Francais 2015 di kementeriannya, di sini, hari ini.
Hasan berkata, industri francais negara menyumbang sebanyak RM25.6 bilion atau 2.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun lalu.
Berdasarkan sumbangan besar itu, kementeriannya mengunjurkan sumbangan industri francais kepada KDNK pada tahun ini mencecah RM27.7 bilion.
Sehingga kini, sejumlah 771 syarikat francais merangkumi pelbagai sektor telah didaftarkan di bawah pendaftar francais KPDNKK. – BERNAMA