KUALA LUMPUR, 3 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti cadangan untuk mengurangkan modal permulaan perniagaan francais kepada hanya RM50,000 berbanding lazimnya minimum RM100,000 bagi mempermudah usahawan mikro terutamanya menceburi sektor itu.
Timbalan Ketua Setiausahanya, Dr Alauddin Sidal berkata kementerian juga bercadang melaksanakan pakej francais mampu milik bernilai RM100,000 ke bawah khususnya dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
Menurutnya, ini merupakan antara fokus KPDNHEP dalam merangka hala tuju industri francais dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada 2021-2025 yang bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara serta menggandakan nilai jualan sektor berkenaan menjelang 2025.
“Pelan hala tuju ini bersifat mesra perniagaan dan memudahkan pemegang taruh francais dari segi birokrasi.
“Ia turut menjadi usaha memulihkan industri francais yang terjejas ekoran pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Maya Antarabangsa Malaysia 2020 (Virtual FIM2020) dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Francais Malaysia (MFA) ke-25 di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Alauddin juga yakin sektor francais mampu mencapai sasaran nilai jualan sebanyak RM24 billion menjelang 2025 yang telah ditetapkan KPDNHEP.
Pada 2019, nilai jualan francais meningkat 18 peratus kepada RM13 billion, berbanding RM11 billion pada tahun 2018.
Beliau berkata model perniagaan francais juga dilihat sebagai perniagaan yang lebih berdaya tahan berbanding lain kerana mampu menghadapi krisis ekonomi akibat COVID-19 ini, katanya.
“Sehingga kini, kita juga tidak menerima sebarang permohonan daripada francaisi dan francaisor untuk menghentikan atau menutup perniagaan masing-masing. Malah kedua-dua pihak saling bekerjasama yang mana francaisor membantu dari segi memberi pengecualian bayaran royalti, yuran francais dan mengurangkan kos operasi francaisi,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 646 perniagaan francais berdaftar dengan Pendaftar Francais yang merangkumi 583 jenama tempatan manakala 63 mewakili jenama asing.
Pada 2019, sebanyak 292 pendaftaran perniagaan itu telah diluluskan berbanding 40 pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Virtual FIM2020 pada 15-21 Okt, 2020, menyasarkan pelaburan francais berjumlah RM450 juta selain lebih 30,000 pengunjung termasuk pelawat antarabangsa.
Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan berkata penganjuran FIM kali ke-27 yang bermula 10 pagi hingga 4 petang itu turut menghimpunkan jenama dari negara termasuk Australia, Belanda, Taiwan, Indonesia, Itali, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat.
Di peringkat tempatan, jenama francais yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah The Manhattan Fish Market, Marrybrown, Tealive, Oldtown White Coffee dan LaundryBar.
Menurutnya, peserta pameran juga dapat berkomunikasi secara terus dengan pempamer menerusi kemudahan ruangan sembang, siaran web dan webinar.
Acara FIM 2019 berjaya mencatat transaksi potensi urus niaga francais bernilai RM452 juta meliputi 74 jenama francais iaitu peningkatan sebanyak 9.0 peratus berbanding RM410 juta pada 2018.
“Kita sememangnya telah memulakan usaha digital sejak 2018. Namun apabila COVID-19 melanda, kita melihat keperluan menerapkan digitalisasi menjadi lebih ketara,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1876097