15 February 2015 – Utusan Malaysia
TELOK KEMANG 14 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperluaskan Program Francais Komuniti yang diperkenalkan pada 2011 ke bandar-bandar kecil di seluruh negara mulai tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, ini bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat termasuk di luar bandar memperoleh manfaat perniagaan francais selaras dengan moto program itu iaitu ‘Francais untuk Semua’.
Katanya, program itu yang sebelum ini lebih tertumpu di bandar besar dianjurkan untuk menyampaikan maklumat, kesedaran dan bimbingan kepada orang ramai berhubung keusahawanan francais.
“Tahun ini, kita buat sedikit kelainan dengan mengubah lokasi Program Francais Komuniti ke bandar-bandar kecil mengikut zon-zon yang akan ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Francais Komuniti Port Dickson di Dataran Seri Kemang, Port Dickson di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza; Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) kementerian, Datuk Basaruddin Sadali dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Syed Kamaruzaman Syed Zainal Khodki Sahahbudin.
Hasan memberitahu, pada tahun ini, Program Francais Komuniti akan dilaksanakan di tujuh zon di seluruh negara dengan Port Dickson sebagai destinasi jelajah pertama.
Menurutnya, mereka yang berminat menjadi francaisi mempunyai dua pilihan iaitu memilih pakej mikro bagi modal permulaan kurang daripada RM50,000 dan makro (modal melebihi RM50,000).
Sejak dilaksanakan, tambahnya, sebanyak 35 siri penjelajahan dilakukan di seluruh negara dengan nilai belian francaisi berjumlah RM34.26 juta untuk pakej mikro dan RM336.36 juta (makro).
“Melalui program ini juga sebanyak 2,181 francaisi mikro baharu berjaya diwujudkan,” ujarnya.
Program Francais Komuniti Port Dickson yang diadakan selama dua hari dan berakhir esok menarik penyertaan sebanyak 18 syarikat francais tempatan dan dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persatuan Francais Malaysia serta Dewan Perniagaan India.
Sementara itu, sebanyak 2,000 pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian berkenaan terlibat dalam pemantauan Skim Kawalan Harga sempena Tahun Baharu Cina 2015 yang bermula hari ini.
Menurut Hasan, semua anggota penguat kuasa akan digerakkan dalam operasi pemantauan berterusan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menjual melebihi harga ditetapkan sepanjang 12 hari pelaksanaan skim berkenaan.